Jika anda dilihat secara pada pandangan kasar bagi model Volkswagen Passat B8 ini, mungkin tidak banyak beza berbanding generasi Passat B7.
Sebenarnya pandangan anda itu mungkin silap kerana Passat B8 ini ialah model baharu selepas dibangun menggunakan platform MQB.
Apa yang menariknya dengan platform MQB, ia memiliki berat yang berkurangan sehingga 90 kilogram hasil daripada penggunaan bahan serba ringan seperti aluminium terutama pada bahagian badan dan enjinnya.

Malah dimensinya juga berbeza apabila model B8 ini berukuran 4,767mm panjang, 1,832 mm lebar dan 1,456mm tinggi.
Ini bersamaan dengan 2mm lebih pendek, 12mm lebih lebar dan 14mm lebih rendah jika dibandingkan dengan Passat B7.
Biarpun badan lebih pendek, jarak roda Passat B8 dipanjangkan sebanyak 79mm, menjadi 2,791mm.

Jadi bahagian dalamannya lebih luas untuk memberi keselesaan kepada penumpang dan pemandu, selain ruang simpanan barangnya meningkat sebanyak 21 liter kepada 586 liter.
Dari segi rekaannya, penulis boleh katakan bentuknya tidak ketinggalan zaman berbanding kenderaan yang ada di pasaran ketika ini selepas tampil karakter futuristik dan moden.
Ini kerana gaya futuristik dan moden boleh dikatakan tidak tahan lama boleh cepat menjadi ‘basi’, tetapi tidak bagi model-model Volkswagen.

Anda boleh lihat bagi model Beetle dan Golf yang mana bermula dari generasi pertama sehingga kini, ia masih lagi mengekalkan konsep sama.
Penampilannya tampak bersahaja tetapi memiliki karakter premium yang tidak ada pada jentera lain.
Bagi varian Passat 1.8 TSI Trendline, ia didatangkan dengan rim ‘Aragon’ 16 inci, lampu kabus hadapan dan belakang serta lampu belakang LED.

Secara jujurnya, penulis sangat suka dengan warna lembut pada jentera ini. Pada masa sama, ia kelihatan menarik dengan garisan krom pada bahagian bawah yang mengelilingi jentera ini.
Perumah lampunya juga kelihatan bersambung dengan jeriji hadapan terutama jika pada pada garisan krom pada bahagian hadapan.
Jika memasuki ruang dalaman, ia tampak bersahaja tetapi masih lagi menarik. Pada papan pemukanya, ia dilengkapi skrin sesentuh warna ‘Composition’ lima inci dan skrin paparan informasi pelbagai warna.

Cuma penulis rasa sedikit kekok apabila mahu menghidupkan enjin kerana butang penghidup enjin berada di konsul tengah berhampiran tombol gear.
Secara keseluruhan, semua material yang digunakan sangat premium kerana dipadankan komponen lembut.
Malah, ia turut menyalurkan gaya retro apabila masih menggunakan jam analog yang berada di tengah corong penyaman udara pada bahagian papan pemuka.

Pada konsul tengah, ia menempatkan brek tangan elektrik dengan Auto- Hold dan sistem Auto Stop.
Apa yang penulis cukup teruja dengan Volkswagen Passat B8 ini adalah prestasinya. Boleh dikatakan prestasi kenderaan jenama Volkswagen tidak pernah mengecewakan penulis sejak berkecimpung dalam dunia wartawan permotoran hampir 10 tahun.
Biarpun enjin ini hanya 1.8 liter, tetapi rangkaian kuasa ini dibantu dengan kuasa turbo yang mampu menyalurkan 180PS dengan tork setinggi 250Nm.

Sepanjang beberapa hari menguji jentera ini, penulis boleh katakan prestasinya cukup mantap dan terasa ringan.
Jika mahu karakter lebih agresif, ubah saja tombol gear ke mod sport dan prestasi boleh dirasai serta merta. Cuma jika kerap menggunakan mod sport ini, maka tahap penggunaan bahan api adalah sangat tidak menjimatkan.

Tahap kestabilan dan pengendalian jentera boleh kata cukup ‘sedap’. Sekiranya diuji pada kelajuan tinggi ia boleh dikatakan masih lagi selesa dan stabil dengan kedapan bunyi yang bagus.
Di jalan selekoh pula, ia masih lagi patuh dengan arahan penulis kerana ia memberi pengendalian yang mantap.
Secara keseluruhan, jika anda berminat untuk memiliki kereta segmen D jenama Eropah yang dijual bawah RM200,000. Volkswagen Passat B8 ini mungkin pilihan bijak.