Membawa watak pengetua sekolah yang tegas dan garang menerusi drama bersiri premium Projek: Anchor SPM, pelakon Adlin Aman Ramlie akui telah bersedia sekiranya karakter itu dibenci penonton.

Menurut Adlin, setiap karakter mempunyai sisi jahat termasuklah pengetua Awang itu sendiri.

“Namun penonton perlu memberi tumpuan kepada persoalan yang ingin disampaikan dalam drama itu.

"Selain untuk dibenci watak ini, ia juga harus diambil sebagai teladan. Sudah tentu setiap watak itu ada positif dan negatif.

“Saya percaya bukan watak saya sahaja. Setiap watak ada dark dan good side.

"Watak pengetua bukanlah jahat tapi dia sebagai mewakili sistem dalam sekolah dan pendidikan,” katanya.

Tambahnya, dia tidak pernah mengambil kecaman netizen secara peribadi malah menganggap kebencian penonton terhadap lakonannya itu merupakan kesan yang diharapkan oleh pengarah dan penulis skrip drama itu.

“Dibenci di laman sosial itu sudah menjadi kebiasaan. Daya tidak ambil perkara itu secara peribadi.

“Saya rasa, mungkin kalau itu yang mereka akan rasa, itulah kesan yang diharapkan oleh pengarah dan penulis skrip.

“Jadi, teruskan membenci saya, kalau nak bertambah lagi benci, pastikan anda semua tonton drama ini setiap episod," katanya.

Untuk rekod, Projek: Anchor SPM mengisahkan tentang sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) di Cameron Highlands, yang merupakan sebuah sekolah berasrama penuh berprestij.

Isu mula tercetus apabila Aizat lakonan Aedy Ashraf terdesak cuba mencari jalan mendapatkan keputusan 8A dalam peperiksaan percubaan SPPM.

Aizat akhirnya berjaya bersekongkol dengan Aaidaa (Daiyan Trisha), dan menghasilkan sebuah pelan untuk membantu rakan- rakan seluruh tingkatan mereka cemerlang SPM melalui strategi meniru besar-besaran.

Drama ini turut dilakonkan oleh Nadhir Nasar (Hilmi), Chubb-E (Botol), Shasha Abedul (Jaja) serta nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat Tony Eusoff dan Susan Lankester.

Apapun, saksikan ‘Projek: Anchor SPM akan ditayangkan di saluran Astro Citra pada jam 9.00 malam, bermula 15 Mac ini.

Untuk pilihan alternatif, penonton juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.