Kurang minum air kosong menjadi punca pelakon terkenal Datuk Jalaluddin Hassan mengalami jangkitan kuman pada bahagian pundi kencing sehingga memberi kesan kepada buah pinggangnya.

Jalaluddin berkata dia mula berasa sakit pinggang dan sukar untuk membuang air kencing namun kesakitan yang dialami hilang selepas mengambil ubat antibiotik yang diberikan anak saudaranya yang juga seorang doktor.

Bagaimanapun, ubat itu hanya bertahan selama tiga hari dan dia mula kembali rasa kesakitan itu sehingga dimasukkan ke wad pada 19 Jun lalu.

“Alhamdulillah, keadaan saya semakin baik… yang penting kena semangat. Sebenarnya saya mula sakit pinggang sejak minggu kelima Mega Spontan lagi. Sakit pinggang dan sakit bila nak buang air kecil.

“Saya ada tanya anak saudara saya yang juga seorang doktor, dia beri saya ubat antibiotik. Sebab itu masa minggu kelima itu saya boleh terus bermain di pentas Mega Spontan sebab waktu itu sakit itu dah hilang.

“Rupa-rupanya hanya sekejap saja hilang. Tiga hari selepas itu, sakit itu datang semula dan saya dimasukan wad sebab alami kencing kotor yang menyebabkan kesan kepada pinggang saya juga,” katanya kepada Gempak.

Sudah dibenarkan pulang sejak Isnin lalu, Jalaluddin memberitahu dia sepatutnya perlu berehat sehingga temu janji dengan doktor untuk pemeriksaan masalah usus yang dihadapinya.

“Saya dah dibenarkan pulang sejak Isnin lalu… ikutkan doktor memang nak suruh saya rehat sebab nanti nak kena jumpa semula untuk pemeriksaan lanjut.

“Doktor nak bagi saya MC tapi saya tak nak sebab ada banyak kerja yang tertangguh yang perlu saya selesaikan. Selepas ini saya ada temu janji dengan doktor berkenaan dengan masalah usus pula.

“Harapnya semua baik-baik saja. Doakan saya ya,” ujarnya.

Terdahulu, anak kepada Jalaluddin yang dikenal sebagai Zul Qayyum memuat naik foto di TikTok memperlihatkan ayahnya sedang dirawat di wad Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.

Pihak produksi Mega Spontan memaklumkan kepada Gempak bahawa isteri Jalaluddin turut mengesahkan suaminya ditahan wad atas sebab masalah kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Jalaluddin Hassan Dimasukkan Ke Hospital, Tak Dapat Beraksi Minggu Keenam #MEGASPONTAN2023 - “Mohon Doa Daripada Semua Agar…”