Berita
"Tiada Kesalan Tolak Tawaran ke Oxford" - Syed Saddiq
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman, menganggap keputusannya mengorbankan tawaran pengajian ke Universiti Oxford sebagai berbaloi, apabila Pakatan Harapan berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 minggu lalu.
Biarpun mengakui tawaran ke Oxford itu sebagai peluang keemasan, beliau berpendapat buat masa ini, bakti dan sumbangannya buat negara lebih diperlukan.
"Mungkin satu hari nanti saya akan kembali fikirkan untuk sambung belajar. Tapi, buat masa sekarang saya ada tugas yang perlu dilaksanakan.
"Ini masa yang penting bagi Malaysia. Suara orang muda memainkan peranan yang sangat besar dalam keputusan PRU14, dan sebagai salah seorang pengasas Parti Pribumi Bersatu (PPBM), saya mahu memastikan suara anak muda tidak terabai dan aspirasi mereka diambil perhatian," tegasnya.
Disebut sebagai pengganti Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq bagaimanapun enggan memikirkan hal jawatan dalam Kabinet, sebaliknya mahu memfokuskan kepada tugas yang digalasnya kini, iaitu Ahli Parlimen Muar yang sekaligus menjadi wakil generasi muda.
"Siapa pun yang dipilih nanti, individu itu tentunya orang yang paling layak untuk memegang jawatan berkenaan. Keputusannya pasti akan dibincang bersama.
"Tetapi di pihak saya, dipilih atau tidak, bukan isunya kerana sebagai Ahli Parlimen Muar dan Ketua Armada PPBM, banyak yang boleh saya sumbangkan sekalipun tiada jawatan dalam Kabinet," katanya.
Paling utama, lulusan Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini mahu melihat kuasa rakyat dikembalikan.
"Saya harap semua pimpinan parti tidak lalai dengan kemenangan ini. Barisan Nasional yang berkuasa selama lebih 60 tahun juga boleh ditumbangkan.
"Salah satu visi saya ialah Malaysia menjadi sebuah negara di mana pemimpin politik takut kepada rakyat kerana hakikatnya, kita berkhidmat untuk mereka," katanya.
Sumber: Astro Awani
Foto: Instagram Saddiq
Must-Watch Video