Pendakwah bebas terkenal, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani (UAD) menemplak kenyataan pelakon Alya Iman yang memberikan alasan tak mahu bersikap hipokrit puncanya bertindak membuka tudung.

Ustaz Ahmad Dasuki kemudian mempersoalkannya, mengapa terdapat masa dan tempat tertentu seseorang wanita muslim boleh mengikut syarat bertudung.

“Membuka dan mendedahkan aurat itulah manusia yang hipokrit. Mengapa saat kalian ke kubur atau ke mahkamah syariah kalian menutup aurat?

“Mengapa saat kalian menjadi mayat kalian ditutup aurat untuk mengadap Allah SWT? Tiba-tiba sekarang baru menyebut tidak mahu digelar manusia hipokrit?” tanyanya dengan tegas.

Penceramah itu berkongsi perkara berkenaan di akaun Instagram peribadi miliknya.

Meskipun tidak menyebut sebarang nama, ramai dapat meneka mesej berkenaan ditujukan kepada Alya memandangkan pendakwah terkenal itu turut memuat naik satu tangkap layar laporan media yang tertera nama aktres berusia 22 tahun itu.

Menerusi laporan itu, Alya menjelaskan alasannya yang kini berimej baharu dengan tidak bertudung.

Selain itu, dalam hantaran yang sama UAD turut menegur aktres berkenaan kerana perbuatannya itu seolah-olah telah melupakan arwahnya yang juga pelakon lagenda, Allahyarham Ustaz Azmil Mustapha.

“Tidakkah Ramadan sepatutnya menjadikan kalian menjadi mukmin bukannya manusia munafik?

"Tidak ada belaskah dalam dada kalian terhadap arwah ayah kalian yang soleh itu sehingga kalian sanggup melakukan dosa besar ini?” soalnya lagi.

Perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki ternyata mendapat perhatian pengguna Instagram.

Dalam masa yang sama ramai turut mendoakan agar Alya Iman dan mana-mana kaum hawa yang teruji untuk kembali istiqamah.