Tiada sebarang unsur jenayah pada kematian remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lalu di sebuah pusat peranginan di Pantai Hill, Nilai.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop dalam satu sidang media sebentar tadi.

Menerusi laporan Astro Awani, Mohamad turut menafikan dakwaan remaja berkenaan telah dirogol seperti yang tular di media sosial.

Jelasnya, mangsa hanya mengalami calar kecil serta luka di kaki dan ia tidak menjurus ke arah kematian.

Menurutnya, Nora Anne meninggal dunia dunia akibat kebocoran pada usus ekoran tidak makan dalam tempoh yang lama.

“Bedah siasat telah dijalankan 11.45 pagi semalam sebelum berakhir 10 malam tadi dan pakar patalogi mengesahkan remaja itu dijangkakan mati dua atau tiga hari sebelum dijumpai.

“Punca kematian sebenar adalah kebocoran pada usus disebabkan mungkin kerana tidak makan dalam tempoh panjang dan juga stress berpanjangan,” katanya.

Pada Selasa lalu, mayat Nora Anne tiba di Jabatan Perubatan Forensik itu pada jam 7.07 malam selepas dibawa dengan helikopter yang mendarat di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, Seremban pada kira-kira 6.45 petang.

Mayat kemudian dibawa dengan van Angkatan Pertahanan Awam serta diiringi sebuah kereta peronda polis dan dua anggota polis trafik yang menaiki dua motosikal.

Nora Anne disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai, di sini, oleh keluarganya pada 8 pagi 4 Ogos.

Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

Sumber: Astro Awani