Laman Utama
Tidak Perlu Ujian COVID-19 Jika Mahu Ke Langkawi, Netizen Mula Risau Tragedi Lama Di Sabah Berulang Kembali
Pelbagai respons dapat dilihat dalam kalangan netizen apabila pengumuman mengenai pengunjung yang ingin ke Pulau Langkawi tidak diwajibkan untuk menjalani ujian COVID-19 diumumkan semalam.
Hal ini dilihat sangat membimbangkan, terutamanya apabila angka kes positif negara masih lagi tinggi dan varian Delta juga semakin mengganas menjangkiti masyarakat setempat.
Meninjau ruangan carian di laman Twitter, rata-rata tidak bersetuju dengan keputusan tersebut. Ada yang menyifatkan keputusan berkenaan sebagai satu hal yang membimbangkan dan ada juga mengambil contoh isu PRN Sabah yang didakwa sebagai penyebab kepada peningkatan kes COVID-19 tahun lalu.
“Sebuah lagi episod Sabah akan berulang. Ujian menggunakan Kit Ujian Pantas (RTK) sudah cukup murah, kenapa tidak jadikan ia sebagai syarat wajib?” tanya seorang netizen di laman Twitter.
Dalam pada itu, ada juga yang mengandaikan jika seseorang mampu untuk mengunjungi Pulau Langkawi, individu terbabit juga sepatutnya mampu untuk membeli RTK dan menjalankan ujian sebelum ke sana.
“Kenapa? Tidakkah kamu belajar sesuatu selepas apa yang kita lalui? Kit ujian berharga RM20 dan jika mereka mampu untuk bercuti ke Langkawi, mereka juga mampu untuk membeli kit ujian berkenaan. Cuba dan jaya untuk waktu sebegini adalah adalah hal yang tidak munasabah,” katanya.
Ada juga yang berpendapat supaya tidak melancong ke Pulau Langkawi selagi tiada prosedur operasi standard (SOP) yang lengkap dikeluarkan.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelancog yang ingin ke Pulau Langkawi tidak perlu untuk menjalani ujian COVID-19 apabila pulau tersebut dibuka pada 16 September depan.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa mengikuti SOP yang ditetapkan memandangkan nasib industri pelancongan di Malaysia bergantung pada mereka.
Must-Watch Video