Penyanyi Daiyan Trisha memberitahu tiket bagi menonton konsert Coldplay di Stadium Wembley, London, England yang berlangsung baru-baru ini merupakan hadiah hari jadi pemberian pelakon Aedy Ashraf.

Menurut penyanyi lagu Penat itu, Aedy membelikan tiket konsert berkenaan sejak tahun lepas dan mereka bersetuju untuk pergi menonton konsert tersebut bersama-sama.

A post shared by Daiyan Trisha (@daiyantrisha)


“Saya baru pulang dari bepergian ke New York dan London. Ketika berada di London, saya berpeluang menonton konsert daripada kumpulan kegemaran saya, Coldplay. Memang satu pengalaman yang sangat tidak dilupakan.

“Tambahan pula, tiket untuk konsert itu diberikan oleh Aedy sebagai hadiah hari jadi saya sejak tahun lepas lagi. Jadi, saya dan Aedy ambil keputusan untuk pergi berdua menonton konsert berkenaan,” katanya kepada Gempak.

Daiyan berkata demikian ketika ditemui pada Anugerah Stail EH! 2022 yang berlangsung di Panggung Wayang Dadi, Pavilion pada Isnin.



Ditanya adakah pemberian hadiah serta menemani ke konsert berkenaan menjadi tanda bahawa dirinya mempunyai hubungan istimewa dengan Aedy, Daiyan berkata: “No comment,” katanya sambil tertawa.

Dalam perkembangan terkini, Daiyan juga memberitahu yang dia bakal muncul dengan drama siri premium terbaharu terbitan Astro iaitu Project High Council.

Diminta mengulas adakah dia ‘anak emas’ Astro berikutan beberapa tawaran yang diterima merupakan daripada stesen televisyen berkenaan, Daiyan berkata, mungkin ia hanyalah kebetulan sahaja.

“Saya rasa kebetulan sahaja. Selepas Project Anchor SPM, saya pun suka tengok premium series seterusnya yang diterbitkan oleh Astro. Hal ini kerana, jalan cerita yang ditampilkan selalunya lain daripada lain termasuk kualiti yang diterapkan. Jadi tak salah rasanya kita sokong,” tutup Daiyan.