Tindakan tegas akan diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di bawah seksyen 43AA, Akta Hak Cipta 1987 terhadap mana-mana individu atau peniaga yang menjual alat peranti teknologi penstriman yang mengandungi karya hak cipta tanpa kebenaran.

Jika disabitkan kesalahan, denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM200,000.00 akan dikenakan atau penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, KPDNHEP tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dengan menggunakan peruntukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang membolehkan kesemua akaun milik pesalah atau suspek dibekukan dan dilucuthak jika didapati bersalah.

Peruntukan kesalahan ini juga turut terpakai kepada mana-mana pemilik premis perniagaan atau pengurusan bangunan yang menyediakan atau menyewakan premis mereka kepada individu atau peniaga yang menjalankan aktiviti penjualan alat peranti teknologi penstriman yang mengandungi karya hak cipta tanpa kebenaran dan cetak rompak kerana bersubahat dan bekerjasama dengan peniaga terbabit.

Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP sentiasa memberikan sokongan kepada hasrat kerajaan dalam usaha merancakkan semula aktiviti ekonomi domestik setelah negara berhadapan dengan pandemik COVID19.

Di samping itu, KPDNHEP tidak terkecuali dalam menjalankan pemeriksaan dan operasi ke atas individu atau peniaga yang mengambil kesempatan dan masih berdegil dalam menjalankan urusniaga cetak rompak dan barangan tiruan di seluruh negara terutamanya penjualan alat peranti teknologi penstriman yang mengandungi karya hak cipta tanpa kebenaran secara fizikal atau pun secara digital.

Lanjutan daripada itu, KPDNHEP juga telah mengenal pasti beberapa laman sesawang dan media sosial yang popular di kalangan komuniti cetak rompak digital yang sering kali diadukan oleh pemilik hak cipta dan industri.

KPDNHEP berterima kasih kepada pihak industri dan pemilik hak cipta di atas kerjasama dalam membanteras cetak rompak secara fizikal dan digital. KPDNHEP amat mengalu-alukan sokongan dan kerjasama dari pemain industri atau pemilik hak cipta dan rakan kongsi kandungan dalam memerangi cetak rompak.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga berhubung perkara ini boleh terus menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut:

WhatsApp: 019-279 4317 / 019-848 8000
Portal Aduan: e-aduan.kpdnhep.gov.my
Pusat panggilan: 1-800-886-800
E-mel: [email protected]

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!