Berita
“Tipulah Kalau Saya Kata Tiada Perselisihan Faham…”- Tarik Diri Dari UNIC, Najdi Dedah…
Bekas penyanyi kumpulan nasyid UNIC, Wan Najdi akui keputusan yang diambil untuk menarik diri daripada kumpulan terbabit adalah muktamad.
Penyanyi Najdi akui keputusan yang diambil untuk menarik diri daripada kumpulan nasyid UNIC adalah muktamad.
Meskipun keputusan itu diambil kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarganya, namun Najdi tidak menolak dia dan dua ahli lain Fakhrul dan Bazli mempunyai perselisihan faham.
“Sebenarnya keputusan ini dah lama saya ambil kerana saya memikirkan anak saya yang tiada penjaga apabila saya perlu keluar bekerja dan dalam masa yang sama isteri saya terpaksa ‘on call’ ke hospital.
“Mengenai hubungan kami, tipulah kalau saya kata tiada perselisihan faham sepanjang bersama. Lebih baik saya undur diri supaya mereka dapat buat keputusan dengan mudah.
“Lagipun sejak berda dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di rumah , saya berfikir industry seni ini lama-lama sudah semakin nazak. Jadi saya fikir baik saya mengundurkan diri dan mencari sesuatu yang lain,” katanya.
Najdi atau nama sebenarya Wan Najdi Wan Mohd Noh dihubungi Gempak selepas membuat pegumuman pengunduran diri di akaun Instagram (IG) miliknya semalam.
Isteri Najdi, Noarzreen Rahim merupakan doktor Pediatrik di sebuah hospital di Port Dickson,
Mereka berkahwin pada 29 Januari 2016 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Wan Nur Maisarah,4, Wan Musthafa, 2, dan Wan Nur Medina,1.
Pun begitu, Najdi masih memikirkan perancangan masa depannya.
“Buat masa ini saya masih belum ada perancangan terperinci, mungkin saya akan menceburi bidang baharu,” katanya lagi.
Sebelum ini, Najdi pernah mengejutkan industri hiburan apabila pernah menarik diri sebagai anggota UNIC pada 2018.
Najdi menyertai UNIC pada 2016 bergandingan bersama Mohd. Fahkrul Radhi Khamarudin (Fakhrul) dan Bazli Hazwan Che Osman (Bazli).
Sejak penubuhan UNIC pada 2002, beberapa anggotanya berubah.
Sebelum ini, Fitri Haris dan Hafiz Hamidun antara bekas anggota yang pernah menyertai UNIC.
Saksikan program yang menampilkan UNIC di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
Must-Watch Video