Penyanyi Roy atau nama sebenarnya Mohammad Rauzan Alwi, 57, meminta orang ramai mengabaikan berita palsu mengenai dirinya sudah meninggal dunia dan dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

Perkara tersebut diberitahu Roy menerusi kemaskini terbaru di laman sosial Facebook (FB)nya pada malam semalam (Jumaat).

“Salam sahabat semua. Tolong ABAIKAN berita berkenaan saya dah meninggal dunia dan masuk ICU, itu adalah tidak benar. Terima kasih,” tulisnya.

Salam Sahabat semua. Tolong ABAIKAN berita berkenaan saya dah meninggal dunia dan masuk ICU itu adalah tidak benar. T. Kasih

Posted by Roy Choir UM Citra on Friday, 29 January 2021
Bagaimanapun kata Roy dia memang mengalami kesukaran bernafas dan berada dalam keadaan kritikal pada Rabu lalu dan telah dimasukkan ke wad kecemasan, bukan ICU.

Dalam pada itu penyanyi Ratnaku ini turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesihatannya.

“Salam sahabat semua. Alhamdulillah hari ni saya sehat sedikit. Semalam saya dalam sedikit kritikal, tak boleh bernafas. Bukan di masukkan di ICU tapi di wad kecemasan.

“Itu lah sahaja update yang boleh saya kongsi dengan para sahabat. Buat masa ni saya masih bertahan. Terima kasih saya ucapkan di atas segala doa yang diberikan kepada saya oleh sahabat semua dan juga sumbangan.

“Saya mohon semua sahabat terus berdoa untuk saya. Moga Allah memberkati doa para sahabat. Aamiin YRA. Salam dan ucapan jutaan terima kasih saya kepada semua sahabat-sahabat saya yang mulia,” katanya.

Terdahulu, Roy dimasukkan ke Hospital Banting akibat sesak nafas sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh selepas disahkan positif Covid-19.