Penyanyi dan penyampai radio Zayan, Mawi menawarkan pelbagai hadiah termasuk kereta dan motosikal kepada penonton filem arahannya Tiada Tajuk.

Menurut Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, ia merupakan kelainan yang sudah lama mahu direalisasikan sekaligus menghargai peminat yang menyokong kerjayanya selama ini.

“Selama ini, peminat sudah banyak memberikan sokongan kepada saya sebagai anak seni.

“Kerana mereka juga saya berjaya memenangi kereta menerusi kemenangan di Akademi Fantasia serta Anugerah Bintang Popular.

"Kali ini apa salahnya saya hadiahkan mereka dengan kereta pula tapi dengan syarat mereka kena pergi tengok filem saya dulu.

“Jadi selain mahu mencipta kelainan, ini adalah sebahagian cara saya untuk membalas budi peminat saya,” katanya.

Tiada Tajuk merupakan filem sulung terbitan syarikat Mawi World Entertainment yang bakal ditayangkan pada 4 April ini.

Antara hadiah utama yang ditawarkan adalah utama sebuah kereta Perodua Bezza, motosikal Yamaha Ysuku (Y15zr) serta pakej umrah atau percutian ke Australia untuk dua orang.

Mereka yang ingin menyertai pertandingan tersebut perlu memuat turun aplikasi Mawi World di App Store atau Google Play Store.

Untuk memenangi hadiah tersebut, penonton perlu memberi tajuk filem serta tagline yang bersesuian dengan jalan cerita yang diketengahkan menerusi filem.

Filem Tiada Tajuk dibintangi oleh baisan pelakon popular tanah air seperti Mawi, Joey Daud, Hazama, Kamarol Hj Yusof, Along Cham, Amira Othman dan Soya.