HIBURAN
TRAGEDI: Dalam Rindu Yang Sama... Singkap Kisah Duka Hilang Isteri Dalam Tidur, Baby Faleeq Berganti Ibu Susuan
Episod pertama program dokumentari Tragedi kali ini menyingkap kisah duka dua keluarga yang dipertemukan melalui insiden kehilangan insan tersayang.
Dengan tajuk ‘Dalam Rindu Yang Sama’, episod sulung ini membawakan kisah menyayat hati mengenai Amirul Narfis Amirnuddin, yang kehilangan isteri tercinta, Nur Izzaty Hafizah.
Allahyarham Nur Izzaty difahamkan ‘pergi’ dalam keadaan tidur selepas menyusukan anak mereka, Faleeq, yang ketika itu baru berusia dua bulan.
Kehilangan mengejut itu meninggalkan Amirul sebagai bapa tunggal yang perlu membesarkan anak kecil tanpa ibu.
Dalam kesedihan itu, Amirul dipertemukan dengan Sri Wahyuni Rahman, seorang ibu yang turut kehilangan bayi lelaki, Khairul Handzalah Sufi, di sebuah taska di Jenjarom, Selangor.
Pertemuan dua insan yang mengalami kesedihan hampir serupa ini akhirnya melahirkan ikatan baharu apabila Sri Wahyuni menjadi ibu susuan kepada bayi Faleeq.
Susu simpanan yang pernah dikumpulkan untuk anaknya yang sudah tiada telah menjadi sumber makanan buat Faleeq, sekali gus mengikat dua keluarga ini dalam hubungan yang luar biasa.
Episod ini memaparkan bagaimana dua tragedi berbeza membawa kepada satu pertemuan yang mencetuskan harapan dan kasih sayang baharu.
Tanpa disangka, takdir menemukan mereka ketika masing-masing dalam tempoh paling getir dalam hidup.
Untuk episode penuh, tonton Tragedi di Astro Prima (saluran 105), mulai 9 Jun 2025, setiap Isnin jam 7 petang atau strim menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box serta aplikasi Astro GO dan sooka.
Sekadar info, Tragedi merupakan program dokumentari emosional yang menyorot kisah benar dan pengalaman pahit yang pernah dilalui oleh rakyat Malaysia.
Diacarakan oleh Datuk Aznil Hj Nawawi, rancangan ini bukan sekadar mengenang duka, tetapi menzahirkan nilai kasih sayang, pengorbanan dan kekuatan sebuah keluarga dalam menghadapi ujian berat.
Must-Watch Video