India sedang mengalami tragedi paling buruk dalam tempoh sedekad selepas dua keretapi bertembung dan mengorbankan ratusan nyawa.

Tragedi yang berlaku di Odisha, India pada Jumaat lalu kini dilaporkan telah menyaksikan peningkatan mangsa maut sudah mencecah sehingga 288 dengan ratusan lain cedera, lapor AFP.



Malah saksi mendakwa ribuan mangsa yang terperangkap dalam gerabak keretapi selepas Howrah Superfast Express, yang beroperasi dari Bangalore ke Howrah, Benggala Barat, bertembung dengan Coromandel Express, yang beroperasi dari Kolkata ke Chennai pada 2 Jun lalu.

The Guardian pula melaporkan hospital di sekitar lokasi kehabisan ruang untuk menampung jenazah sehingga sekolah di kawasan Bahanaga diubah menjadi bilik mayat darurat.

Sehingga kini masih banyak mayat yang belum dikenal pasti dengan ahli keluarga menunggu dan mencari anggota famili masing-masing yang belum ditemui.

Keretapi merupakan antara penggangkutan utama di negara paling padat dunia itu.