Keindahan flora dan fauna di negeri Sabah dan Sarawak menjadikan dua negeri ini sebagai sebuah destinasi berharga dalam kalangan kaki adventure.

Di dua negeri ini sahaja, terdapat banyak taman-taman negara yang menarik untuk dilawati apabila pandemik tamat kelak.

Di sini, Gempak senaraikan lima taman negara popular yang masih terpelihara untuk anda letakkan dalam bucketlist.

1. The Lost World of Sabah, Maliau Basin



Terletak di Sandakan Sabah, keistimewaan Maliau Basin ialah ia berada pada ketinggian 1,675 meter dari paras laut.

Maliau Basin mendapat jolokan The Sabah’s Lost World, kerana keadaan geografinya yang seolah-olah mempunyai jurang garis pemisah daripada dataran tanah di sekitarnya.

Penggemar jungle trekking, Maliau Basin pasti menjadi satu cabaran terbaru untuk anda terokai.

Dianggarkan terdapat lebih daripada 1600 spesis tumbuhan di Maliau Basin yang terdiri daripada 9 spesis tubuhan periuk kera, 440 spesis pokok dan 80 spesis bunga orkid.

Bagi fauna, terdapat 69 spesis mamalia, 290 spesis burung dan lebih daripada 35 spesis amfibia berjaya direkodkan.

2. Taman Negara Mulu, Sarawak



Taman Negara Gunung Mulu yang terletak di sebelah utara negeri Sarawak turut memiliki bentuk geografi yang unik, yang terdiri daripada gua batu kapur, lingkaran air batu yang jernih serta dilitupi oleh hutan dara tropika.

Selain kaya dengan flora dan fauna, taman negara ini dihiasi oleh Gunung Mulu yang merupakan gunung batu pasir setinggi 2,377 meter.

Selain Gunung Mulu, dua gunung lain yang ada adalah Gunung Api (1,750 m) dan Gunung Benarat (1,585 m)

Malah, 295km gua telah diterokai memberikan pemandangan yang menakjubkan dan merupakan penempatan kepada berjuta kelawar dan burung Layang-layang.

3. Taman Marin Tun Sakaran, Semporna



Semporna merupakan daerah yang sangat berpotensi dalam sektor pelancongan bukan sahaja di negeri Sabah tapi Malaysia.

Pada 22 Julai 2004, Taman Marin Tun Sakaran (TMTS) telah diisytiharkan di dalam Warta Kerajaan Negeri Sabah.

TMTS mengambil masa lebih kurang 45 minit perjalanan menaiki bot dari pusat bandar Semporna Sabah. Anda boleh menikmati cuaca terbaik di pulau-pulau ini dari April hingga Jun.

Sehingga kini, taman laut ini meliputi lebih kurang 35,000 hektar dengan keindahan pulau-pulau termasuklah pulau Bodgaya, Selakan, Bohey Dulang, Tetagan, Sibuan, Maiga, Sebangkat, Mabul, Sipadan dan Mantabuan.

Kaki diving boleh mendekati kepelbagaian akuatik yang hidup di terumbu karang yang sihat dan berwarna-warni.

4. Taman Negara Batang Ai, Sarawak



Taman Negara Batang Ai yang diwartakan pada tahun 1991 sebagai tempat perlindungan pelbagai jenis hidupan liar.

Selain itu, ia berfungsi sebagai kawasan tadahan air bagi sebuah tasik buatan yang membentuk empangan hidroelektrik Batang Ai.

Tasik ini merangkumi kawasan Lembah Engkari dan Lembah Ai di mana memberikan panorama cukup indah dan aman.

Disebabkan kemudahan di kawasan taman negara ini terhad, anda digalakkan mengambil lawatan ke rumah panjang yang ada di dalam kawasan ini.

Sambil mengembara, anda berpeluang mempelajari cara hidup kaum Iban di rumah panjang mereka.

5. Taman Negara Kinabalu, Sabah



Terletak di Ranau, Taman Negara Kinabalu atau Kinabalu Park merupakan Taman Negara yang pertama di Malaysia diisytiharkan pada tahun 1964.

Taman Negara Kinabalu adalah antara tapak biologi yang paling penting di dunia dan dikenali sebagai hab tumbuhan yang pelbagai di Asia Tenggara.

Selain dapat melihat keindahan Gunung Kinabalu dari jarak dekat, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti lain seperti berbasikal, memerhati pelbagai jenis burung, menaiki jambatan gantung dan macam-macam lagi.

Nak menginap, boleh! Ada beberapa kemudahan penginapan yang tersedia berhampiran dengan kawasan taman ini bagi membolehkan pengunjung bermalam dan berehat sambil menikmati keindahan alam semulajadi di Taman Negara Kinabalu.