Trend memakai pakaian mencolok mata oleh pengantin perempuan yang beragama Islam adalah bercanggah dengan garis panduan berpakaian di dalam Islam.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ia merupakan satu budaya jahiliah dan mungkar yang wajar ditinggalkan.

"Seperti yang diketahui oleh majoriti masyarakat Islam bahawa hukum menutup aurat adalah wajib di dalam Islam. Aurat lelaki Muslim (wajib ditutup) ketika berada di hadapan khalayak ialah di antara pusat dan lutut.

"Sementara bagi wanita Islam pula diwajibkan menutup seluruh tubuh kecuali muka dan telapak tangan ketika kehadiran lelaki ajnabi atau bukan mahram," katanya kepada Sinar Harian.

Tak tutup aurat majlis nikah

Wan Salim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai trend wanita Muslimah yang berpakaian mencolok mata dan tidak menutup aurat ketika majlis akad nikah.

Antara yang berpakaian seksi ketika majlis akad nikah ialah seorang pelakon wanita popular yang baharu sahaja melangsungkan majlis akad nikahnya.

Pakaian artis wanita itu yang mendapat sentuhan daripada pereka fesyen antarabangsa menerima kecaman daripada warganet yang menyifatkan pakaian itu terlalu seksi dan tidak sesuai digayakan ketika majlis akad nikah.

Tak nipis tak ketat

Dalam pada itu, Wan Salim menambah, bagi wanita beragama Islam, mereka hanya diwajibkan menutup di antara pusat dan lututnya sahaja sekiranya berada dalam kalangan sesama wanita.

"Bagaimanapun, pakaian itu disyaratkan tidak nipis sehingga menampakkan kulit dan tidak pula terlalu ketat.

"Pada prinsipnya, wanita Islam diharuskan memakai apa juga fesyen pakaian termasuk ketika menghadiri majlis akad nikah dengan syarat-syarat seperti dinyatakan," katanya.

BERITA TRENDING: Lelaki Berambut Panjang Ini ‘Diminta’ Tutup Aurat Ketika Berada Dalam Masjid, Ini Reaksi Netizen



Sumber: Sinar Harian