Ulang tahun kelahiran Tuah Adzmi yang ke-25 diselubungi dengan perasan sedih disebabkan penyanyi itu teringat kembali arwah bapanya yang telah meninggal dunia 19 tahun lalu.

Pelakon drama Budak Hostel Otaknya Sewel itu berkata dia berasa cemburu apabila melihat orang lain dibesarkan dengan penuh kasih sayang dari seorang bapa.

“Jam 12 malam ini (7 September) genap 25 tahun perjalanan hidup aku, namun 19 tahun aku membesar tanpa pelukan dari seorang insan yang ku gelar ‘Ayah’.

“Sesungguhnya aku cemburu melihat mereka yang lain, mereka yang dilindungi oleh insan yang bernama ‘ayah’. Sedangkan aku berjuang sendiri untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang lelaki, tapi aku rindu,” katanya.

Tuah turut mendedahkan dia pernah dipukul ketika di zaman kecilnya namun tetap kuat dan bangkit setiap kali mengingat semula pesanan arwah bapa tercinta.

“Aku pernah dipukul dan dipijak ketika aku masih belum bersedia. Namun aku bertahan atas bisikan dari ayahanda sebelum dia meninggalkan kami sekeluarga, ‘Kalau ayah dah tak ada nanti tolong lindung mama, Tuah anak lelaki kan?’

“Biarpun aku mendengar bisikan itu ketika baru berumur enam tahun, aku tak pernah sangka kata-kata itu akan segar di fikiran aku selama 19 tahun.

“Terima kasih ayah, Tuah akan selalu menjaga bidadari ayah sampai hujung nyawa Tuah. Tuah janji,” ujarnya menerusi perkongsian di TikTok.

Pada perkongsian sama, pelantun lagu Insan Kau Cinta itu turut memuat naik foto dia bersama arwah bapanya.

Sementara itu, rata-rata netizen turut meluahkan rasa sebak dengan perkongsian itu dan memberikan kata-kata semangat kepada Tuah selain minitipkan doa buat arwah bapanya.

BACA SINI: Drama ‘Budak Hostel Otaknya Sewel’ Pertaruhan Pertama Tuah Adzmi Dalam Dunia Lakonan - “Seminggu Pertama, Saya Takut & Menggigil Ketika…”