Syarikat pengeluaran kicap dan sos masakan buatan Malaysia, Mahsuri Food Sdn Bhd menegaskan produk keluaran mereka dijamin halal.

Kenyataan itu dimuat naik oleh pihak Mahsuri menerusi akaun Facebook rasmi mereka.

Menurut kenyataan tersebut, semua produk keluaran mereka telah disahkan halal oleh JAKIM.

“Saya mewakili pihak Mahsuri Food Sdn Bhd ingin menekankan yang semua produk keluaran Mahsuri disahkan halal oleh JAKIM Malaysia dan juga produk buatan Malaysia.

“Jangan risau, pelbagai langkah dan peraturan yang ditetapkan oleh JAKIM Malaysia kami patuhi untuk memastikan yang produk Mahsuri halal, bersih dan selamat untuk digunakan oleh semua,” jelas wakilnya.

Terdahulu, timbul satu dakwaan oleh seorang wanita menerusi satu video di aplikasi TikTok yang mendakwa kicap Mahsuri merupakan produk buatan orang bukan Muslim.

Tidak cukup dengan itu, wanita itu juga menyatakan dia meragui status halal atau haram (syubhah) kicap jenama kicap berkenaan.