Laman Utama

Tular Penemuan Mayat 2 Remaja, Noh Salleh Akui Baru Jumpa Sebulan Lalu- “Sewaktu Pengebumiannya…”

gempak
Syafiqah Jalal
03/06/2022
03:50 MYT
Sponsor Banner
Tular Penemuan Mayat 2 Remaja, Noh Salleh Akui Baru Jumpa Sebulan Lalu- “Sewaktu Pengebumiannya…”
Penyanyi kumpulan Hujan, Noh Salleh cukup terkesan dengan pemergian remaja lelaki berusia 19 tahun yang mayatnya ditemui bersama seorang lagi rakannya dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard di parkir kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, pada Ahad lalu.
Menurut Noh, 37, Allahyarham yang juga pemain bass sebuah kumpulan muzik itu dikenali ketika remaja itu berusia 15 tahun yang juga peminat tegar kumpulan Hujan.
Malah, Allahyarham sentiasa menyokong aktiviti kumpulan Hujan.
"Bagi saya, betullah pemergiannya satu kehilangan besar untuk industri muzik kerana dia satu-satunya pelapis berbakat luar biasa. Saya tak jumpa lagi mana-mana pemain bass muda yang memiliki kemahiran sepertinya.
"Arwah juga menjadi penggerak penting dalam kumpulannya itu. Kesungguhannya sebagai pemuzik sangat mengagumkan saya serta keseluruhan komuniti muzik yang mengenalinya.
"Sewaktu pengebumiannya, ramai sangat datang memberi penghormatan terakhir buatnya. Itu membuktikan betapa besarnya impak ditinggalkan kerana keperibadiannya pun memang sangat menyenangkan," katanya.
Noh turut bersimpati dengan keluarga Allahyarham yang sudah dianggapnya sebagai keluarga sendiri.
"Saya sempat ke bilik mayat di hospital untuk sama-sama memberi sokongan dan tenangkan ibu bapanya. Semestinya sayu hati melihat mereka meratapi pemergian anaknya pada usia muda begitu," katanya yang kali terakhir berjumpa Allahyarham kira-kira sebulan lalu.
Semalam, Harian Metro melaporkan misteri kehilangan dua sahabat yang dilaporkan hilang pada 23 dan 24 Mei lalu terbongkar dengan penemuan mayat mereka di dalam sebuah MPV di parkir sebuah bangunan kediaman di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di sini, Ahad lalu.
Pemeriksaan pada badan kedua-dua mayat itu serta lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Cheras, untuk proses bedah siasat.
Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan sedang dijalankan.
Sumber: Harian Metro
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024