Laman Utama
Tular Video Dera Kanak-Kanak, Wanita Warga Asing Akan Didakwa Dalam Masa Terdekat
Seorang wanita warga asing yang dilihat mendera seorang kanak-kanak di dalam sebuah video yang tular di media sosial akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya telah menahan wanita berusia 53 tahun tersebut pada 8 Disember lalu iaitu sehari selepas menerima laporan daripada seorang individu.
Menurutnya, kejadian itu dikatakan berlaku di sebuah rumah di Persiaran Minden, Gelugor pada 2 Disember lalu, manakala menurut laporan yang dibuat, suspek didakwa mendera empat kanak-kanak.
“Wanita itu sedang direman selama enam hari dan ditahan di Penjara Seberang Perai di Jawi (Nibong Tebal). Dia dijangka dituduh selepas mendapat kebenaran Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(2) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penderaan kanak-kanak dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen kerana tiada dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Hari ini tular sebuah video berdurasi 15 saat yang memaparkan seorang wanita dipercayai pengasuh menampar muka seorang bayi yang sedang menangis berulang kali selain menarik tangannya dengan kuat ketika memakaikan baju.
Video tersebut menerima kecaman netizen apabila ramai mengatakan ia tindakan yang kejam dan pelaku perlu dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.
Seorang pengguna laman sosial Twitter turut mendakwa individu yang merakam kejadian itu merupakan anak tiri suspek berusia 11 tahun yang juga dikatakan turut didera.
Sumber: Kosmo Online
Must-Watch Video