Puteri Tunggal Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim, 31, bakal melangsungkan pernikahannya dengan Dennis Muhammad Abdullah, 28, di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, 14 Ogos ini.

Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, istiadat persandingan pasangan Pengantin Diraja akan diadakan di Bilik Singahsana Istana Besar Johor Bahru pada 8 malam, hari sama.

"Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah memberi perkenan untuk Tunku Puteri Johor melangsungkan perkahwinannya.

"Perkahwinan Tunku Tun Aminah akan dilangsungkan penuh istiadat Melayu dan Budaya Istana Johor," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan, Johor Bahru.

Beliau berkata, satu istiadat meletak kerja pada 8 Ogos ini dengan menaikkan bendera istiadat kerajaan menandakan permulaan Istiadat Perkahwinan Diraja itu.

"Majlis Tahlil dan Doa Kesyukuran akan diadakan pada Khamis 10 Ogos di Masjid Pasir Pelangi mulai 6.30 petang mohon restu Allah SWT terhadap perkahwinan itu.

"Istiadat pertunangan akan diadakan pada jam 10 pagi pada 14 Ogos dia Istana Bukit Serene diikuti Istiadat Nikah," katanya.

Katanya, Sultan Johor berkenan mewakilkan Sahibus Samahah Datuk Muhammad Tahrir Shamsudin yang juga Mufti Negeri Johor sebagai wali.

Katanya, majlis perkahwinan dilangsungkan secara tertutup.

Sumber: Harian Metro