Hiburan
Umairah Kini Artis Naungan SN Legacy, Siti Nurhaliza Anggap Sebagai Penyambung Legasi Keluarga - “Mungkin Lebih Baik Dari Saya”
Penyanyi remaja, Ummi Umairah, 14, kini sebagai artis di bawah pengurusan syarikat milik Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, SN Legacy Sdn Bhd, hari ini.
Penyambung Legasi Keluarga
Umairah atau mesra disapa Umai yang juga anak saudara kepada Siti menjadi artis pertama di bawah SN Legacy Sdn Bhd.
Ujar Siti pembabitan Umai bersama syarikatnya, secara tidak langsung mampu memberi bimbingan secara profesional, selain menyambung legasi keluarga dalam bidang muzik.
“Saya harap dengan termeterai kontrak ini, ia dapat menjaga anak saudara saya ini dan memberi bimbingan dalam muzik secara profesional.
“Saya mengharapkan Umai akan terus belajar untuk menjadi anak seni yang lebih cemerlang. Mungkin lebih baik daripada saya suatu hari nanti.
“Saya melihat Umai sebagai salah seorang penyambung legasi dalam keluarga,” katanya kepada Gempak.
Siti ditemui pada sidang media sempena meraikan Umai sebagai artis di bawah SN Legacy Sdn Bhd di sebuah restoran di Wangsa Maju.
Peluang Terbaik Umai
Sementara itu, Umai berharap peluang diberikan mampu membentuk dirinya menjadi anak seni lebih berjaya.
“Saya bersyukur kerana dapat peluang bernaung di bawah SN Legacy Sdn Bhd. Ini adalah detik bermakna dan terindah dalam hidup saya.
“Saya akan gunakan peluang ini dengan baik untuk majukan diri dan jadi artis lebih berjaya.
“Saya mengharapkan doa daripada semua untuk mengharungi industri muzik dengan cekal dan mengharumkan nama negara serta keluarga,” katanya.
Dengan kontrak yang ditandatangani, Umai akan berada di bawah naungan SN Legacy Sdn Bhd selama lima tahun bermula 1 Januari lalu.
Must-Watch Video