Bekas bintang WWE, Hulk Hogan dilaporkan selamat berkahwin dengan kekasihnya, Sky Daily dalam sebuah majlis kecil yang berlangsung di Clearwater, Florida.

Hogan atau nama sebenarnya Terry Bollea berusia 70 tahun sementara pasangannya yang merupakan guru yoga, 45 tahun.

Pasangan pengantin juga didakwa memakai busana ringkas dengan Hogan menyarung tuxedo warna hitam dan Daily memakai gaun putih, lapor TMZ.

Hogan mendedahkan dia dan kekasihnya bertunang pada Julai lalu. Mereka berkenalan selepas Hogan membeli minuman buat wanita itu sebelum keluar sebagai kekasih.

Ini merupakan perkahwinan ketiga Hogan. Dia pertama kali berkahwin dengan Linda Hogan dari tahun 1983 hingga 2009 dan memiliki dua anak iaitu Brooke, 35, dan Nick 33.

Dia kemudian berkahwin buat kali kedua dengan Jennifer McDaniel pada 2010 tapi bercerai pada Oktober 2021.