Program animasi popular, Upin & Ipin membuktikan mereka masih mempunyai ‘taring’ apabila episod 'Barang Baik, Barang Kita' meraih lebih dua juta tontonan naik di YouTube dalam tempoh hanya tiga hari saja.

Mula dimuat naik pada Selasa lalu, video berkenaan merupakan hasilkan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menurut Penerbit dan Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi, dia amat gembira apabila episod 'Barang Baik, Barang Kita' yang mendukung Kempen Beli Barangan Malaysia menerima sambutan positif.

"Alhamdulillah dengan kandungan dan jalan cerita yang bagus, sekali lagi episod Upin Ipin meraih tontonan tinggi. Pujian buat studio animasi saya yang pakar dalam menarik penonton dengan kandungan seumpama itu.

"Saya senang hati mendapat tahu bahawa Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi gembira dengan kerjasama ini, apatah lagi, beliau turut membuat penampilan secara animasi dalam episod ini,” katanya.

Menurutnya lagi, dia akui, projek tersebut bukanlah kerjasama murah tetapi berbaloi apabila kempen ini berjaya menarik perhatian orang ramai.

"Ini memberi maksud, Upin dan Ipin berjaya menyampaikan mesej yang baik, bukan sahaja kepada kanak-kanak, malah, golongan dewasa," katanya.

Difahamkan, episod 'Barang Baik, Barang Kita' adalah sebahagian inisiatif KPDNHEP dalam memupuk kesedaran orang ramai termasuk kanak-kanak terhadap kempen beli Barangan Buatan Malaysia.

Episod 'Barang Baik, Barang Kita' menarik perhatian ramai berikutan watak baharu yang ditampilkan termasukklah Is iaitu abang kepada Mail.

Sementara itu filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal telah pun mula ditayangkan di Astro First bermula semalam.

Sewa di Astro First (Saluran 480) atau On Demand Store. Hanya sambungkan PVR Box anda ke Wi-Fi dan strim pada bila-bila masa. Muat turun juga aplikasi Astro GO untuk strim filem-filem blokbuster dalam keselesaan rumah anda. Untuk maklumat lanjut, sila ke http://content.astro.com.my/blockbusters

Sumber : Berita Harian