Isu poligami semakin panas diperkatakan selepas pengarah Syamsul Yusof membuat pengakuan berkahwin dua dengan pelakon Ira Kazar kelmarin.

Isu itu membuatkan video pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus yang mengupas mengenai kes suami berkahwin tanpa izin tular kembali.

Menerusi video dimuat naik di laman TikTok, penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus menjawab pertanyaan sama ada sah atau tidak seorang suami berkahwin seorang lagi tanpa pengetahuan isteri pertama.

“Hukumnya (poligami) sah tetapi perbuatan itu tak betul kerana perkahwinan ini adalah bergembira, bukan bersedih,”ujarnya.

Ustaz Azhar menjelaskan, hidup berpoligami bermaksud kesemua mereka terlibat iaitu suami, isteri pertama dan isteri kedua (serta seterusnya jika ada) perlulah bergembira tanpa ada salah seorang tercicir sehingga menanggung penderitaan sendirian.

Oleh itu, adalah penting seorang suami mendapatkan keizinan daripada isteri pertama bagi mengelakkan mereka rasa ditipu hidup-hidup.

“Minta izin, saya nak berkahwin seorang lagi. Inilah orangnya (sambil tunjuk gambar), awak berkenan atau tidak. Dia cakap tak suka, okey cari lain sampai mendapat restu dari isteri pertama,”ujar Ustaz Azhar Idrus.

Tambah Ustaz Azhar Idrus, tindakan seorang suami berkahwin tanpa pengetahuan isteri pertama seolah-olah mereka telah melakukan penipuan dan semestinya menimbulkan rasa marah.

“Kalau isteri tipu, kita marah tak? Sama jugalah dengan konsep kahwin tanpa pengetahuan isteri. Dia masih ingat kita tak beri dia ‘madu’. Betul tak? Jadi, isteri rasa tertipu. Jangan sebab jasa isteri sangat besar dengan kita (suami),”jelasnya lagi.