Penyanyi Lah Ahmad beranggapan tiada salah untuk bekas anggota kumpulan V.E iaitu Damian Mikhail memberi pendapat mengenai rakan seangkatan namun berharap biarlah komen itu membina bukannya mengkritik.

Menurut Lah, sebagai bekas ahli kumpulan V.E, Damian sepatutnya memberi sokongan dan mendoakan rakan-rakan yang masih berjuang di pentas Gegar Vaganza 9 (GV9).

“Bagi saya, kalau nak beri pendapat tu biarlah membina sikit. Dia boleh saja bagi komen membina sebab dalam industri ini kita kena beri sokongan dan doa untuk kawan seangkatan.

“Saya sendiri kalau ada kawan keluar album, saya ucap tahniah dan bila nampak Adeep menyanyi minggu kedua GV9 dengan baik, saya ucap tahniah.

“Jadi, tak perlu la komen secara nak hentam. Sebab nanti dekat padang mahsyar, orang akan ungkit apa yang kita tak puas hati. Sebab tu kita jangan buat salah sebesar zarah pun,” katanya kepada Gempak.

Sebelum ini, Damian Mikhail dilihat lantang bersuara mengkritik kumpulan VE yang menyertai GV9 secara terbuka di media sosial.

Malah Damian juga pernah mengatakan dia tidak bersetuju penglibatan penyanyi legenda dalam program realiti dan mengharapkan elaun mingguan selain diminta melakukan persembahan lari daripada gaya asal artis berkenaan.

Sementara itu, Lah sentiasa mengambil tahu tentang perkembangan terkini rakan-rakannya selain mendoakan yang terbaik buat VE yang masih bersaing di pentas Gegar Vaganza 9 (GV9).

“Saya tahu apa perkembangan terkini kawan-kawan, sahabat saya yang kenal dari dulu. Memang saya ambil tahu walau bidang apa-apa pun.

“Bagi saya, susah nak cakap mewakili semua orang. Sebab tu saya lebih selesa bergerak sendiri, kalau ada salah apa-apa saya sendiri yang tanggung.

“Apa-apa pun saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat VE. Saya sangat suka mereka masuk GV dan persembahan mereka sangat best.

“Saya respect mereka dapat membuat persembahan dengan bawa lagu orang lain dengan baik, mereka memang layak bawa nama VE,” ujarnya.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!