Iklan komersil raya Astro yang paling dinantikan telah dilancarkan dengan membawakan kisah Cerita Raya Dik Non.

Menurut Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh, tema kempen raya pada tahun ini berbeza dengan tahun-tahun terdahulu.

“Perkembangan sektor kandungan animasi tempatan yang kini berada di tahap membanggakan memberi inspirasi kepada Astro untuk menghasilkan karya animasi kreatif sebegini bagi meneroka pasaran tersebut.

“Jadi antara kelainan paling ketara yang disuntik untuk kempen Aidilfitri tahun ini ialah menerusi iklan komersial ‘Cerita Raya Dik Non’ yang mengangkat genre animasi bagi menyampaikan intipati utama naratif penceritaan tema yang dipilih.



“Semoga eksperimen kami menerusi kisah kali ini diterima baik dan mampu memberikan kesan yang mendalam seperti iklan-iklan komersil yang pernah diterbitkan sebelum ini,” jelas Datuk Khairul pada majlis sidang media virtual raya Astro 2020 sebentar tadi.

Iklan raya ini mengisahkan seorang kanak-kanak bernama Dik Non yang berhasrat untuk menjadi adiwira setelah menonton siri superhero kegemarannya di televisyen.

Impian Dik Non turut mendapat dorongan daripada bapanya, Pak Mail.

Dik Non banyak membantu jiran-jirannya dalam pelbagai keadaan dan situasi dengan semangat adiwiranya itu. Walaupun ‘bantuan’ yang dihulurkan oleh Dik Non tersebut berlaku di dalam mimpi, Dik Non tetap membawa semangat itu dengan membantu bapanya di rumah ketika menyambut Aidilfitri.



Iklan komersil Cerita Raya Dik Non diarahkan oleh sutradara Derrik Yaw yang turut mengarah iklan komersial ‘Raya Kuasa 7’ tahun lalu.

Lebih istimewa apabila suara di sebalik dua watak utama kisah Cerita Raya Dik Non ini adalah milik Datuk Khairul Anwar Salleh sebagai Pak Mail dan Nurdianah (Dee) untuk watak anak perempuannya, Dik Non.

Mari tonton Cerita Raya Dik Non: