Umum mengetahui lagu Tiara nyanyian asal kumpulan Kris kembali meledak apabila dinyanyikan semula (cover) dalam pelbagai versi oleh penyanyi dari segenap latar belakang termasuk dari negara jiran Indonesia.

Terbaharu, artis baharu yang bernaung di bawah Luncai Emas Sdn Bhd, P. Radhi tampil menyanyikan semula lagu ciptaan Datuk M. Nasir itu dalam versi klasik ala-ala Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

“Alhamdulillah dan terima kasih saya ucapkan kepada Luncai Emas Sdn Bhd yang menerima saya, serta memberi peluang untuk ‘cover’ lagu Tiara.

“Lagu Tiara ciptaan Dato M Nasir memang sudah terbaik, dan saya sekadar menyanyikannya dalam versi P. Ramlee.

“Kenapa versi P. Ramlee, sebab saya menjuarai Bintang P. Ramlee Kebangsaan pada tahun 2016.

“Saya juga sangat meminati Tan Sri P. Ramlee dan dari kecil saya sudah dibiasakan dengan lagu-lagu dan lakonan-lakonan arwah Tan Sri P. Ramlee,” ujarnya.

Dalam pada itu, P. Radhi tidak menyangka apabila lagu Tiara nyanyiannya tular di platform TikTok.

“Saya tidak sangka versi P. Ramlee yang bermula daripada nyanyian bersahaja di Tik Tok menjadi viral dan mendapat sambutan baik.

“Ramai juga yang mengatakan rindu pada arwah Tan Sri P. Ramlee dengan dendangan itu. Saya terharu dan gembira dapat mengingatkan kembali orang ramai kepada seniman Agung kita.

“Terima kasih kepada semua yang menyokong dan mendoakan saya,” tambahnya.

P. Radhi atau nama penuhnya Muhammad Radhi AB. Rahman, 31 tahun, merupakan Juara Bintang P. Ramlee 2016 dan bakal mengeluarkan beberapa single lagi secara ‘cover’ mahupun ‘original’ selepas Tiara dan juga beberapa lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dengan dendangan dan gaya tersendiri.

Video Muzik ‘Tiara’ P. Radhi yang mana penggambarannya dibuat sepenuhnya di Melaka telahpun dimuat naik di saluran YouTube Luncai Emas dan mendapat 30,000 tontonan dalam tempoh tiga hari.

Video muzik tersebut diarahkan oleh Juril Jumali, diinpirasikan dari filem Penarek Becha.

‘Tiara’ versi P. Ramlee boleh didengari di semua pelantar strim seperti Spotify, Joox, Apple Music, KKBox, Deezer dan Itunes Store.