Mengangkat tema ‘Bukalah Hati’, syarikat penyiar dan penstriman utama negara, Astro menyambut ketibaan Syawal dengan pelbagai sajian hiburan yang merangkumi variasi genre termasuk telefilem, rancangan variasi, komedi dan kanak-kanak yang sesuai untuk tatapan seisi keluarga.

Seringkali menjadi antara iklan Raya yang dinanti-nantikan, Astro kali ini mempersembahkan iklan, Pertemuan Dua Hati yang sarat dengan penceritaan penuh emosi di antara seorang ibu tunggal dan anak angkatnya.

Iklan kali ini mengangkat kisah Chee Hoi Lan, atau Laoshi yang pernah mendapat Anugerah Ikon Ibu Sejati Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2022.

Laoshi bertungkus lumus dalam membesarkan anak angkatnya, Rohana Abdullah yang berlainan bangsa dan agama.

Iklan yang mengambil masa penggambaran selama dua hari ini diarahkan oleh Dick Chua yang dikenali dengan naratif emosi menerusi karya-karyanya.

Menurut Naib Presiden Perniagaan Saluran Melayu Astro, Azlin Reza Azmi, Syawal ini bakal membukakan hati dengan setulus ikhlasnya.

“Mengangkat tema Bukalah Hati, iklan Raya kami, Pertemuan Dua Hati memaparkan kisah yang diadaptasi daripada kisah benar, yakni Chee Hoi Lan, atau Laoshi yang membesarkan Rohana Abdullah tatkala dirinya masih bayi sehingga ke menara gading.

“Kisah yang penuh emosi ini membuktikan apabila kita membuka hati, apa jua jurang perbezaan pasti akan diatasi.

“Bukan itu sahaja, kasih sayang tidak mengenali bangsa, agama mahupun kedudukan. Semoga iklan kali ini mampu menyentuh hati sanubari semua yang menonton.

“Semoga dapat dijadikan aspirasi untuk kita korbankan diri buat mereka yang tersayang tanpa mengharapkan balasan.

“Kami turut berasa terharu kerana diberi kepercayaan untuk mengadaptasi kisah yang penuh inspirasi ini sebagai nadi iklan kami,” jelasnya.


Dalam pada itu, Azlin juga berkongsi raya tahun ini Astro menyajikan pelbagai rancangan-rancangan menarik khas buat tatapan penonton.

“Astro kali ini sarat dengan rancangan-rancangan hebat yang bakal memberikan kepuasan hati untuk setiap lapisan penonton kami.

“Menerusi platform televisyen, kami bakal menyajikan 10 telefilem khas Aidilfitri di saluran Astro Ria, bermula malam raya hinggalah Syawal ke-9 nanti.

“Antaranya Pondok Quran Buruk, Sumpahan Peti Ais, Heisdilfitri, Bro Jenin, Pengantin Tangkap Muat, Raya Sebagai Isteri, Challenge Accepted, Biar Biasa Biasa, Langit Tak Mendengar dan Diari Cinta Aku.

“Menerusi saluran Astro Warna pula, Debunk 2 akan kembali menemui penonton pada malam raya nanti.

“Manakala genre variasi, komedi serta kanak-kanak bakal memaparkan Holla Dolla, Siapa No. Syatu? Lina Vs Rina, Gegar Vaganza Raya, Gempak Most Wanted Raya, Celebrity Family Feud, Bombastika Raya, MeleTop Raya, Raya Lawak Warna, Spontan Balik Raya, Royal Gerambel, Famili Yang Popular dan banyak lagi.

“Manakala Polis Evo 3 dan MALBATT Misi: Bakara bakal menemui peminat-peminat filem di pawagam kelak.

“Platform-platform Digital dan Radio turut akan menyajikan pelbagai jenis hiburan yang hebat, tiada henti sepanjang Syawal ini.

“Semoga santapan Syawal kami mampu menyemarakkan semangat Aidilfitri ini walaupun setiap daripada kita mempunyai perjuangan tersendiri.

“Bukalah hati, nescaya kemeriahan Syawal pasti akan dirai. Akhir sekali, ampun dan maaf kami pinta jika ada tersalah kata mahupun terkasar bahasa. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin,” katanya mengakhiri bicara.

Jadi anda jangan lupa saksikan program-program menarik di Astro ya.