Laman Utama
[VIDEO] "Lepas Bawa Hattan Naik Motosikal Pusing Bendang, Perasaan Risau Hilang" - Ahirine Ahirudin
Pelakon filem Gadis Jolobu The Movie, Ahirine Ahirudin, 26, mengakui mudah untuk mendapatkan keserasian dengan bintang gandingannya, Datuk Hattan.
Jelas Ahirine, biarpun pada mulanya risau dan gemuruh untuk bekerjasama dengan artis otai, perasaan itu hilang apabila di set penggambaran.
"Pada mulanya, saya risau untuk bekerja dengan artis otai seperti Hattan.
"Maklumlah, watak Jijah banyak dengan Atan (Hattan) termasuk babak romantik.
"Bagaimanapun, selepas saya bawa Hattan naik motosikal pusing bendang dan ronda keliling kampung, perasaan risau hilang, malah sering ketawa dengan telatah lucunya," katanya.
Pernah interview Khir Rahman & Joey Daud
Bukan sahaja Hattan, kata Ahirine, dia juga tiada masalah bekerjasama dengan Khir dan Joey.
"Saya tidak kekok bergandingan dengan Khir dan Joey kerana pernah menemubual mereka ketika menjadi wartawan penyiaran.
"Mereka adalah pelakon profesional dan tahu apa yang perlu dilakukan di lokasi penggambaran. Begitu juga dengan pengarah, CL Hor," katanya.
Kata Ahirine lagi, filem Gadis Jolobu The Movie turut menyerlahkan sisi komedi dalam dirinya.
"Saya sebenarnya suka buat orang ketawa kerana tidak mahu berasa tekanan di lokasi.
"Khir dan Joey juga suka buat lawak. Jadi, saya memang ketawa dan terhibur dengan telatah mereka," katanya.
Gadis Jolobu The Movie dihasilkan susulan kejayaan lagu duet Hattan bersama Waris, Gadis Jolobu yang meraih tontonan hampir 10 juta di YouTube.
Filem ini akan menemui penonton di pawagam GSC di seluruh negara bermula 4 Ogos depan. Malah, turut ditayangkan di platform Over-The-Top (OTT), Get PLAY yang akan diumumkan kemudian.
Must-Watch Video