Sepotong video aneh memaparkan aksi pelakon lelaki yang popular dengan watak The Flash, Ezra Miller mencekik seorang wanita tular di Internet.

Kejadian itu difahamkan berlaku di luar sebuah bar di Reykjavik, Iceland pada Ahad lalu.

Sumber di Prikið Kaffihús memberitahu kepada Variety bahawa kejadian itu memang melibatkan Miller dan pelakon itu telah diarahkan untuk berundur dari kawasan terbabit.

Dalam video berdurasi 7 saat itu, lelaki berkenaan dipercayai diprovokasi untuk bergaduh oleh wanita berkenaan yang asalnya hanya bergurau.

Miller, 27, kemudiannya mencekik wanita berkenaan dan menghumbannya ke lantai. Pada masa sama, individu yang memegang kamera berhenti merakamkan aksi berkenaan.

Miller dilaporkan berada di bandar berkenaan baru-baru ini dan media antarabangsa masih cuba mendapatkan pengesahan daripada pelakon itu.

Miller popular menerusi watak Barry Allen dalam filem adaptasi komik DC, The Flash selain muncul dalam beberapa filem lain antaranya Fantastic Beast, Batman v Superman: Dawn of Justice dan Justice League.

Sumber: Variety