Lagu malar segar yang pernah popular pada suatu ketika dahulu ‘Mengintai Dari Tirai Kamar’ kini diberi nafas baharu oleh penyanyi asalnya, Ezad Lazim melalui sebuah duet istimewa bersama pendatang baharu yang kian meningkat naik, Amsyar Leee.

Kata Ezad yang juga pemenang tempat ketiga pertandingan Gegar Vaganza musim ke-2, lagu yang sudah berusia 25 tahun itu masih mendapat permintaan pendengar sehingga kini.

"Kalau hendak diikutkan, lagu ini sudah pun menjangkau usia 25 tahun lamanya, namun semenjak diperkenalkan pada tahun 1997, ia masih menjadi permintaan ramai penggemar muzik sehingga hari ini.

"Mungkin masanya kini sesuai untuk pengenalan semula lagu ini khususnya buat generasi sekarang dan peminat terdahulu yang masih merindui karya ini," kata Ezad.

Memilih Amsyar Lee untuk berduet, tambah Ezad, dia melihat kesungguhan yang ada pada penyanyi baharu itu.

"Sebenarnya pihak Warner yang menyatakan hasrat mereka pada pengurus yang merupakan isteri saya untuk menyanyikan semula lagu ini.

"Banyak tawaran saya terima sebelum ini, bukan setakat Amsyar seorang, bahkan syarikat rakaman lain, artis lain, turut menyatakan hasrat mereka untuk berkolaborasi namun rezeki berpihak pada Amsyar kerana saya nampak kesungguhan yang ditunjukkan oleh pihak Warner, dan akhirnya saya bersetuju," ujarnya.



Sementara itu, kata Amsyar atau nama sebenarnya Muhammad Amir Syafiq Mohd Sadri, dirinya tidak menyangka diberikan peluang untuk merakamkan lagu ikonik itu.

"Apabila diberitahu oleh pihak Warner yang saya akan berduet dengan penyanyi asalnya, abang Ezad, hati ini berdebar kerana yalah seorang penyanyi bertaraf legenda sudi berduet dengan BBNU seperti saya, namun pada masa yang sama saya teruja berpeluang bekerjasama kerana saya anggap ia sebagai sebuah peluang yang tidak patut dipersiakan.

"Mungkin ramai pendengar muzik dari generasi sekarang kurang mengenali lagu ini, tetapi saya percaya lagu ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri apabila dinyanyikan semula dengan nafas yang baharu dan lebih segar," katanya.

Bagi menghormati komposisi asal lagu Mengintai Dari Tirai Kamar hasil ciptaan komposer legenda yang pernah memenangi pelbagai anugerah dan pengiktirafan, Saari Amri dan penggubah muzik muda dari kumpulan Nastia, Rudy Iskandar dipertanggungjawabkan memberi 'make over' terhadap karya tersebut.

"Tidak banyak yang diubahkan, masih mengekalkan feel yang lama dengan sentuhan baharu melalui vokal latar yang ditambah bagi mempercantikkan lagi karya ini.

"Dan Amsyar berjaya membawakan lagu ini dengan caranya tersendiri, bagi saya dia mempunyai tarikan yang tersendiri dan mampu menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi, dan bukan hanya mahir meniru nyanyian artis lain. Jika didengar, tona suara Amsyar ada keunikannya tersendiri," kongsi Ezad.

Apa maksud mengintai dari tirai kamar?

Lagu ini sememangnya mempunyai maksud yang istimewa dengan bahasa yang simbolik, bahkan tajuknya sahaja sudah cukup menarik perhatian, Mengintai Dari Tirai Kamar membawa erti sebuah angan-angan yang tidak mungkin tercapai.

"Menurut pencipta asalnya, abang Saari Amri, lagu ini menceritakan tentang perasaan cinta seorang lelaki yang tidak mempunyai apa-apa terhadap wanita yang didambakannya, lelaki tersebut berasa rendah hati, tidak sesuai, tidak layak untuk memiliki wanita tersebut kerana dirinya yang serba-serbi kurang," jelasnya.

Selain lagu, sebuah video muzik (MV) turut menyusul dengan konsep yang ringkas namun istimewa di mana pertembungan dua generasi, yang lama dengan baharu bergandingan di atas sebuah pentas persembahan dengan berlatarbelakangkan sekumpulan pemuzik dengan menyelitkan elemen nasihat di akhir MV itu nanti.

"Sebagai anak seni yang telah mengharungi industri ini selama lebih dua dekad lamanya, sedikit sebanyak telah membentuk keperibadian saya pada hari ini.

"Apa yang telah saya hasilkan, tempuhi, jalani dan alami banyak mengajar saya dalam kehidupan. Zaman saya naik dan jatuh, zaman gelap saya, apa yang boleh saya perkatakan saya hanyalah manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan.

"Kini, bukanlah kepopularitian yang saya cari, lebih kepada tanggungjawab kepada masyarakat dalam memberi impak yang positif, cuba berikan yang terbaik dan menjadi insan berguna buat semua," katanya.

Amsyar yang kini masih menuntut di salah satu universiti terkemuka negara turut berharap agar lagu ini diterima ramai dengan nafas baru yang diberikan.

Lagu ‘Mengintai Dari Tirai Kamar’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV pula boleh ditonton secara eksklusif pada tarikh yang sama hanya di saluran YouTube Warner Music Malaysia.