Kecoh sejak semalam apabila tular sebuah video memaparkan sekumpulan orang ramai yang beratur tanpa sebarang penjarakan fizikal di sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel Grand Season, Kuala Lumpur.

Menerusi video berdurasi tujuh minit itu, seorang individu dilihat cuba menjarakkan kedudukan orang ramai yang dikatakan terlalu rapat.

Walau bagaimanapun, usahanya tidak berhasil memandangkan jumlah orang ramai yang terlalu padat.

Malah, air mata pemuda tersebut turut ‘tumpah’ apabila kecewa dengan situasi tersebut.

Pada masa sama, video itu juga telah mencetuskan kemarahan orang ramai mengenai pemantauan pihak berkuasa memandangkan pemberian vaksin kini boleh dilakukan secara walk in.

Terbaru, menerusi satu kenyataan rasmi dikeluarkan Polis Daerah Dang Wangi di Facebook, pihak polis telah bertindak mengerahkan pasukan pematuhan ke PPV itu selepas mengesan berlaku kesesakan di lokasi berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, hebahan telah dibuat kepada orang ramai yang hadir supaya membuat penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

"Sebagaimana SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pasukan pematuhan berjawa mengawal keadaan di pusat tersebut sehingga program vaksinasi selesai,” katanya.

Susulan itu, Noor Dellhan memohon kerjasama orang ramai supaya terus mematuhi SOP dikeluarkan MKN.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran SOP boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999,” katanya.