Pakar kini sedang menumpukan perhatian terhadap strain influenza terbaru yang ditemui dalam khinzir di China.

Para saintis berpendapat, virus itu mempunyai persamaan genetik yang menyamai Selesema Babi atau 'Swine Flu'.

Memetik laporan Mirror UK, virus itu juga mampu menyebabkan masalah pernafasan pada manusia dan berpotensi menjadi pandemik jika bermutasi dan tersebar dari manusia ke manusia.

Strain yang dinamakan G4 EA H1N1 itu mampu membiak dan berkembang dalam sel yang didapati dalam saluran pernafasan manusia.

Menurut satu laporan penyelidikan yang dibuat baru-baru ini, virus berkenaan hanya didapati pada khinzir setakat ini, namun ia mampu memberi kesan buruk kepada manusia.





Kebimbangan ini juga merupakan satu amaran ketika dunia masih berhadapan pandemik COVID-19 yang telah meragut nyawa lebih 500,000 penghidap dari pelbagai negara.

Apapun, kita harus sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, utamakan aspek pencegahan dan patuhi SOP ketika berada di luar rumah. Kita belum menang!

Sumber : mirror.co.uk