Selepas menjalinkan kolaborasi dengan Barbie pada tahun lalu, usahawan terkenal Duck Group, Vivy Yusof merancang projek lain bersama jenama patung ikonik terkenal itu di masa akan datang.

Menurut Vivy, dia berharap akan ada sesuatu yang lebih besar untuk Duck dan Barbie berkolaborasi lagi.

“Sebenarnya pada tahun lalu, Duck dan Barbie sudah jalinkan kolaborasi apabila kami menghasilkan tudung untuk patung Barbie.

“Bagi saya itu hanya sebahagian kecil sahaja. Tahun ini kami sedang bekerjasama untuk sesuatu bersama lagi dan saya harap akan ada kolaborasi yang besar untuk tudung Duck.

“Saya tidak boleh beritahu lagi, tunggu sahaja nanti,” katanya kepada Gempak.

Vivy ditemui ketika Sambutan Barbie’s 60 Anniversary di Menara Kuala Lumpur pada 11 Mac lalu.

Menurut Vivy lagi, Barbie telah memberinya inspirasi dalam kehidupannya dari kecil.

“Saya memang peminat Barbie dan membesar dengannya kerana ia bukan sahaja patung mainan tetapi kawan kepada saya.

“Saya terkejut apabila Barbie datang kepada Duck untuk berkolaborasi sedangkan ia dikenali sebagai patung berambut perang dan kini memakai skaf.

“Saya rasa ia satu perkembangan yang baik dari Barbie,” katanya lagi.

Sempena sambutan tersebut, Barbie dengan kerjasama Tourism Malaysia mewarnai mercu ikonik Kuala Lumpur, Menara KL dengan rona merah jambu sebagai tanda permulaan keraian ulang tahun ke-60 Barbie di Malaysia bermula 11 hingga 31 Mac 2019, 7 petang sehingga 12 tengah malam, setiap hari.