
Dari segi penampilan, model
facelift ini tampil dengan
wajah yang lebih segar dengan
lampu nyalaan siang LED yang bertemu di tengah-tengah jeriji. Bahagian bawah bampar turut direka semula dan kini menampilkan
tiga jalur krom. Varian R-Line tampil lebih sporty dengan lubang ambilan udara yang besar.

Bagi pasaran Amerika Syarikat, tiga warna baharu ditawarkan iaitu
Oryx White, Kings Red Metallic dan
Lapis Blue.
Di dalam, rekaan papan pemuka dan konsol tengah diperkemaskan lagi dengan
corong udara baharu, dan susun atur sistem infotainmen dan kawalan pendingin hawa yang lebih ringkas. Selain itu, Arteon turut mendapat
stereng baharu yang dilengkapi dengan panel sentuh pada sebelah kiri dan kanan, di samping upholsteri fabrik dan kulit yang dinaik taraf.

Dari aspek kelengkapan, Arteon kini didatangkan dengan sistem
Travel Assist yang membolehkan pemanduan separa automatik pada kelajuan dari 0 hingga 210km/j. Kamera pandang belakang turut dinaik taraf dengan dua ciri baharu iaitu
Trailer View dan
Corner View yang memperluaskan sudut imej kamera dari 90 hingga 170 darjah.

Kelengkapan baharu lain yang turut disertakan adalah sistem infotainmen
MIB3 dengan sokongan
Apple CarPlay dan
Android Auto, pengecasan tanpa wayar serta sistem audio
Harman Kardon dengan 12 pembesar suara.

Seperti sebelum ini, Arteon tampil dengan enjin
TSI 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan
268hp dan 350Nm. Ia dipadankan dengan
transmisi automatik lapan kelajuan Tiptronic dan sistem pacuan semua roda 4Motion. Arteon R pula mempunyai
320hp yang dibekalkan oleh enjin yang sama.