Sekilas
- Shiha Zikir menasihatkan supaya berhati-hati dalam memilih kawan kerana mereka boleh mempengaruhi cara berfikir dan bertindak kita.
- Beliau mengingatkan supaya berkawan dengan individu yang membawa pengaruh positif dan bukan yang mengajak kepada perkara negatif seperti mengumpat atau membenci orang lain.
- Shiha juga menegaskan pentingnya menjaga prinsip, adab, dan rasa hormat tanpa mengorbankannya demi diterima dalam sesuatu kelompok.
Penyanyi Shiha Zikir menitipkan nasihat kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dalam memilih lingkungan persahabatan kerana ia mampu mempengaruhi cara seseorang berfikir dan bertindak.
Menurut Shiha, penting untuk seseorang mengelilingi diri dengan individu yang membawa pengaruh positif, bukannya mereka yang gemar mengajak kepada perkara negatif.
“Satu nasihat untuk kita semua, pilihlah circle yang betul-betul membawa kebaikan dalam hidup kita.
“Berkawanlah dengan orang yang mengingatkan kita untuk menjadi lebih baik. Bukan orang yang mengajak kita membenci, mengumpat atau memandang buruk terhadap orang lain.
“Kadang-kadang kita tak sedar, terlalu lama berada dalam circle yang salah boleh mengubah cara kita berfikir, bercakap dan melihat sesuatu perkara,” katanya.
Tambah Shiha, seseorang juga perlu berhati-hati agar tidak terlalu mengikut sikap negatif rakan sekeliling hanya kerana mahu diterima dalam sesuatu kelompok.
Jelasnya, prinsip, adab dan rasa hormat terhadap orang lain tidak seharusnya dikorbankan demi mendapatkan penerimaan daripada individu tertentu.
“Lebih membimbangkan, kita mungkin mula terikut-ikut dengan sikap yang sebenarnya bukan mencerminkan siapa diri kita.
“Jangan kerana terlalu mahu diterima dalam sesuatu kelompok, kita sanggup menggadaikan prinsip, adab dan rasa hormat terhadap orang lain.
“Ingat, bukan semua orang yang rapat dengan kita membawa pengaruh yang baik. Pilih kawan yang membantu kita naik, bukan yang perlahan-lahan menarik kita jatuh,” ujarnya.
Sumber - Threads