Hiburan
Walaupun Patah Tulang Kaki Kerana Jatuh Balkoni, Shalma Eliana Tetap Kental!
Penyanyi Shalma Eliana kini kembali mempertaruhkan single terbarunya, Mahukah Kamu ft Fariz Jabba selepas insiden jatuh dari balkoni pada awal Ogos tahun lalu.
Kemalangan tersebut menyebabkan Shalma mengalami kecederaan akibat patah tulang kaki di bahagian tumit.
Bagaimanapun menurut Shalma, Januari 2020 menjadi tahun kebangkitan buatnya yang sedang teruja menanti maklumbalas pendengar mengenai single terbarunya itu.
Shalma, 19, juga beranggapan sakit bukan alasan buat wanita kental sepertinya untuk menyiapkan muzik video lagu ciptaan penyanyi dan komposer kelahiran Singapura, Alif (dahulu dikenali sebagai Alif Sleeq).
Berkongsi kisah di sebalik Mahukah Kamu, Shalma berkata, ia sebuah karya dilahirkan dengan cetusan melodi Pop dan R&B yang dicipta bertujuan memperkasakan wanita.
Kekuatan single itu terletak pada mesej cuba disampaikan iaitu seorang wanita tidak perlu meletakkan harapan terlalu tinggi untuk seseorang yang tidak menghargai mereka dalam perhubungan dijalinkan.
Bagi Shalma, Mahukah Kamu bukan mengangkat tema percintaan klisye biarpun ia menyamai pengalaman lalu yang banyak memberi pengajaran buatnya.
“Amat penting untuk seseorang wanita itu mempertahankan maruah mereka dan menetapkan pendirian diri. Ini kerana wanita sering dianggap sebagai insan yang lemah sedangkan mereka tidak,” katanya.
Shalma sebelum ini pernah hadir dengan single pertama berjudul Janji Terindah pada 16 November 2018.
Single berkenaan mendapat khidmat Malique Ibrahim selaku penerbit terkenal yang memiliki sentuhan unik, diedarkan Universal Music Malaysia.
Detik-detik menyiapkan Mahukah Kamu bersama penyanyi rap dari Singapura, Fariz Jabba pula terjalin selepas buat pertama kali Shalma meluahkan hasratnya kepada Universal Music Malaysia untuk merakamkan lagu bersama penyanyi itu.
“Universal Music amat memahami terutama apabila saya menyatakan keinginan untuk menjalin kolaborasi dengan Fariz Jabba”, katanya teruja.
Peminat boleh melayari lagu Mahukah Kamu di kesemua platform streaming seperti Spotify, Joox, KKBOX, YouTube dan Apple Music.
Must-Watch Video