LAMAN UTAMA
Wanita Ketua Ajaran Sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir Ditangkap
Polis mengesahkan sudah menahan ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) di rumahnya di Shah Alam, awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supt Basri Sagoni berkata wanita berusia 39 tahun itu ditahan kira kira pukul 1.10 pagi.
Selain menahan suspek wanita berusia 39 tahun itu, polis juga merampas lima telefon bimbit pelbagai jenama, sekeping kad bank, resit pemindahan wang ke akaun bank tempatan sebanyak RM84,721 dan sepasang telekung putih.
Menurutnya suspek sebelum ini ada membuat laporan polis, menyatakan tidak pernah mewujudkan kumpulan ajaran sesat atau bertentangan dengan ajaran Islam. Dia juga menafikan semua tuduhan termasuk tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara.
"Suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 7 September ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Sebelum ini tular dalam media sosial seorang wanita dengan gelaran Sittah Annur dikaitkan dengan ajaran sesat PMYT mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan memimpin pasukannya mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.
Selain itu, wanita tersebut juga mendakwa dirinya mempunyai keistimewaan dan berupaya membuat ramalam berkaitan apa yang berlaku pada masa depan.
Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, dilaporkan berkata isu serta kegiatan wanita itu masih dalam kawalan, dan PDRM tidak boleh terburu-buru bertindak kerana perlu mengumpul maklumat lengkap dalam siasatan dengan turut membabitkan jabatan lain, termasuk jabatan agama Islam.
Sumber & Foto: BERNAMA
Must-Watch Video