Pelakon Tya Ariffin akui sebagai seorang wanita dia juga pernah berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan hidup.

Bagaimanapun menurut Tya atau pemilik nama Nurtria Wulandari Arifin menganggap perkara itu sebagai semangat untuk kembali kuat.

Terbaharu, Tya kembali memberanikan diri dengan muncul bersama single pertama di Malaysia berjudul Bagaikan Mutiara.

Jelas Tya, single berkenaan juga ironinya memperkasakan golongan wanita dalam pelbagai sudut pandang.

“Wanita itu tak kira apa juga statusnya, dia juga kena kuat. Tidak boleh sesekali lemah. Kuat itu juga bukan daripada segi fizikal, namun juga minda dan pembawakan diri.

“Saya sendiri berubah status dari gadis bertukar sebagai isteri dan ibu. Menjadi ibu kepada dua cahaya mata tidak pernah membataskan saya mencari titik kesempurnaan dalam hidup.

“Saya jadi lebih optimis dan bersemangat apabila perniagaan yang diusahakan dapat membantu mengubah nasib orang lain,” ujarnya.

Tya yang turut meneroka dunia perniagaan produk suplemen kesihatan, Mutyara mengakui single komersial pertamanya di negara ini juga bagai sebuah bingkisan bermakna yang menghimpunkan pahit manis dalam paksi hidupnya.

Ditanya apakah percubaannya menghasilkan single berkenaan untuk merekam memori perjalanan cintanya, Tya memintas bahawa lagu itu menzahirkan darah seni yang mengalir tidak pernah bernoktah

“Soalnya saya bermula sebagai artis. Pastinya saya mengharapkan pertaruhan ini akan membuahkan hasil.

“Saya juga tidak mengambil mudah dalam soal untuk kembali menyanyi. Pastinya selepas sekian lama tidak menyanyi, banyak hal saya kena asah.

“Termasuk daripada sudut vokal. Saya sempat berguru menajamkan kembali vokal sebelum proses rakaman bermula,” katanya.

Lagu berkenaan juga menyaksikan suaminya, Asyraf Khalid bertindak sebagai penerbit eksekutif.

Video muziknya arahan El Helmi Khir ini juga sudah dirakamkan pada 17 November lalu.

Bagaikan Mutiara juga boleh distrim di platform digital terpilih dan juga dapat ditonton di saluran YouTube Tya Arifin Official.