"Where are you Zally? Please come home, just come home," demikian rayu personaliti televisyen popular Ras Adiba Radzi menerusi beberapa siri hantaran di Instagram merujuk kepada rakan seperjuangannya, Zalina Azma yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu.

Zalina atau nama sebenarnya Zalina Shaharah Azman yang pernah mengendalikan program Money Matters disyaki hilang apabila gagal dihubungi oleh ahli keluarganya.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pihaknya menerima laporan daripada keluarga Zalina, 58, berhubung kehilangannya pada 29 November tahun lalu.

"Dalam laporan itu, pengadu (anak Zalina) cuba mencari dan menghubungi ibunya sejak 24 November bagi memaklumkan datuk (bapa Zalina) dimasukkan ke hospital namun gagal.

"Pada 29 November, pengadu dan bapa saudaranya pergi ke rumah ibunya di Seksyen 3 dan mendapati kereta ibunya berada di tepi rumah.

"Pengadu mendapati keadaan di dalam rumah tidak tersusun. Turut ditemui beg duit milik ibunya yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kad kredit, kunci kereta serta wang tunai RM600.

"Bagaimanapun, ibunya tidak dijumpai. Segala usaha mencari sudah dijalankan namun gagal menemui mangsa," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Isnin.

Justeru, Mohd Iqbal berkata, pihak polis membuat hebahan berkaitan kehilangan mangsa kepada umum hari ini bagi membantu siasatan kes terbabit.

Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menyiarkan gambar Zalina dan maklumat berkaitan iaitu berkulit hitam manis, bertubuh kecil dan kurus dengan ketinggian 158 sentimeter.

Menerusi hebahan itu juga, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat boleh memaklumkan kepada Pegawai Penyiasat Sarjan Sabturia Lorong atau Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam di talian 03-5519 4622.