Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Wings Bakal Adakan Konsert Jelajah Di 49 Penjara, Awie Luah Hasrat Mahu Bertemu Yasin - “Saya Doakan Dia Tabah Dengan Apa Yang Berlaku”

Mya Amri
02/10/2024 07:25 MYT
Penyanyi rock terkenal, Datuk Awie mendedahkan kumpulan Wings bakal mengadakan konsert jelajah ke-49 penjara terpilih tahun hadapan.


Sambutan ulang tahun Wings 40 tahun

Menurut Awie yang juga merupakan vokalis kumpulan Wings, projek itu dilaksanakan demi berbakti kepada masyarakat di samping meraikan sambutan ulang tahun ke 40 tahun kumpulan itu dalam industri seni negara.

“Saya percaya mereka yang di dalam (penjara) tiada seorang pun yang mahu lahir menjadi jahat. Jadi kami anggap ini kesempatan untuk kami berikan sepatah dua, agar mereka tahu bahawa mereka juga turut dicintai golongan artis.

“Mungkin dengan usaha ini akan memberi impak besar kepada mereka. Kita mahu mereka pulih dan menjadi orang baik di luar nanti,” katanya.

Awie berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media Rock Warrior Music Festival di Menara PKNS, baru-baru ni.

Proses dapatkan penaja

Dalam pada itu, pihaknya sudah pun mengadakan siri mesyuarat bersama Jabatan Penjara Malaysia (JPM) dan kini dalam proses mendapatkan penaja bagi menjayakan projek tersebut.

“Sekarang, kami sedang mencari mana-mana syarikat yang mahu melakukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk melakukan kebajikan bersama-sama kami.

“Wings tidak menjual tiket, jadi kami memang tidak ambil apa-apa keuntungan. Oleh itu, kami perlukan penaja untuk menampung kos sistem bunyi dan pengangkutan sepanjang konsert jelajah.

“Kami akan cuba membantu dari segi pulangan sama ada melalui media sosial atau apa sahaja cara boleh difikirkan. Hal ini boleh dibincangkan,” jelasnya.


Luah hasrat Yasin Sulaiman

Memilih Penjara Kajang sebagai lokasi pertama, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 55, tidak menolak sekiranya diberi peluang berjumpa teman pemuzik di sana seperti Yasin Sulaiman.

“Siapa rakan-rakan yang ada di dalam, kita akan jumpa kalau berkesempatan termasuklah Yasin.

“Saya mahu doakan dia bertabah dengan apa yang terjadi kerana Allah sayang dia. Insya-Allah kawan-kawan yang kita ingat, kita sayang. Cuma kemampuan kita nak membantu itu terhad,” katanya.

Terdahulu pada 22 Ogos, komposer dan penyanyi, Yasin Sulaiman didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah.

Yasin dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

ARTIKEL BERKAITAN: Awie Dedah Pernah Ada Karakteristik Lembut Masa Zaman Sekolah - "Saya Suka Menari, Gimnastik Pun Dulu Saya Wakil Sekolah"

ARTIKEL BERKAITAN:Awie Mahu Kotakan Janji, Jaga Kesihatan Demi Keluarga - “Ada Anak Kecil, Kalau Saya Sakit…”

ARTIKEL BERKAITAN:Penyanyi Yasin Sulaiman Dijatuhi Hukuman Penjara Seumur Hidup, 16 Sebatan

ARTIKEL BERKAITAN:Laporan Psikiatri Sahkan Yasin Ada Bipolar Disoder Dan Tidak Waras Ketika Kejadian Kes Dadah

ARTIKEL BERKAITAN: Berat Badan Hilang 18KG Sejak Duduk Penjara, Yasin Sulaiman Menderita Sakit...

#Konsert #Wings #Datuk Awie #Penjara #Yasin #Jelajah
;