Tiga penyanyi popular Hollywood, Rihanna, Beyonce dan Taylor Swift merupakan antara 100 individu teratas dalam senarai Wanita Paling Berkuasa Dunia Forbes bagi tahun 2021.

Forbes pada 7 Disember melancarkan senarai tersebut (Top 100 list of the World's Most Powerful Women 2021) dan 15 wanita daripada industri media dan hiburan diberi pengiktirafan.

Rihanna yang kini bergelar jutawan atas kejayaan perniagaan kosmetiknya Fenty Beauty berada pada tangga ke-68, sementara Beyonce berada pada tangga ke-76.

Forbes juga menyebut tentang kejayaan bekas anggota Destiny Child itu meraih AS$250 juta (melebihi RM1 bilion) daripada konsert jelajah On The Run II bersama suaminya, Jay Z.

Dalam pada itu, Taylor Swift pula berada pada tangga ke-78. Album Swift berjudul Folklore menjadi album pertama yang dijual sejuta unit ketika tempoh pandemik.

Bukan itu sahaja, kompilasi lagu Swift yang dilancarkan semula, Red (Taylor's Version) berjaya mendapat tangga pertama dalam carta Billboard 200 untuk kali yang kesepuluh (dengan album berbeza sebelum ini).

Selain tiga penyanyi gah itu, pengacara Oprah Winfrey yang memiliki nilai bersih pendapatan sebanyak AS$2.6 bilion (menghampiri RM11 bilion) membuatkan beliau berada di tangga ke-23 dalam senarai tersebut.

Selain mereka berempat, antara pesohor lain yang mendapat pengiktirafan sama adalah pelakon Reese Witherspoon, MacKenzie Scott dan ramai lagi.

Sumber: Independent