Disney dikritik selepas secara terbuka berterima kasih kepada sebuah agensi kerajaan China yang dituduh melakukan pelanggaran hak asasi manusia di Xinjiang, lapor AWANI.

Penghargaan itu diberi Disney dalam senarai kredit filem terbaru terbitannya, Mulan.

Tidak jelas tentang jenis bantuan yang diberi, namun cakap-cakap di media sosial mendakwa terdapat beberapa babak dalam filem itu dirakam di Xinjiang.

Ia sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa biro Keselamatan Awam dan Pelancongan Turpan, sebuah bandar yang mempunyai populasi sekitar 633,400 orang di luar ibu kota Xinjiang, Urumqi.

Belum ada sebarang keterangan yang dikeluarkan Disney setakat ini.

Jabatan Luar Negara Syarikat menganggarkan sejak 2015, sebanyak dua juta etnik Uighur beragama Islam dan minoriti Turki lain dipenjarakan di kem-kem di Xinjiang.

Peguambela hak asasi manusia menggesa Disney untuk mendedahkan perjanjian yang dibuat dengan kerajaan China sehingga mereka diberi kebenaran membuat penggambaran di wilayah itu.

"Sangat tidak masuk akal bagi Disney untuk bekerjasama, dan seterusnya berterima kasih, dengan agensi kerajaan dari wilayah yang terlibat dengan pembunuhan beramai-ramai," kata jurucakap Asia Society, Isaac Stone Fish.

Asia Society merupakan sebuah organisasi yang memfokuskan kepada peningkatan kesedaran mengenai Asia, beribu pejabat di New York.

Ini bukanlah kali pertama filem Mulan terkait dengan kontroversi.

Pada Ogos tahun lalu, aktivis pro-demokrasi di Hong Kong melancarkan kempen boikot filem tersebut selepas pelakon utamanya, Liu Yifei, menyatakan sokongan kepada pasukan polis di Hong Kong, ketika rakyat negara itu memprotes dasar-dasar baharu yang membolehkan warganegara diekstradisi ke China.

Sumber : Astro AWANI
Kredit Foto : cnet.com