Penyanyi Mia Lateefa mengakui, menjadikan Yuna sebagai sumber inspirasi sebelum mula mengorak langkah sebagai anak seni.

Mia berkata, pencapaian dan kerja keras Yuna sehingga berjaya menempa nama sehingga ke peringkat antarabangsa membuatkan dirinya kagum.

“Yuna adalah idola saya kerana kerja keras beliau yang akhirnya menempa nama di persada dunia. Yuna bekerjasama dengan nama-nama besar industri muzik dunia.

“Untuk menjadi seperti Yuna saya rasa adalah impian setiap anak seni terutamanya penyanyi. Saya berharap agar karya-karya saya akan dapat diterima oleh semua orang,” katanya.

Menurut Mia, minatnya terhadap dunia nyanyian bermula sejak berusia 15 tahun lagi dan ketika itu dia menghasilkan lagu-lagu cover secara suka-suka bersama teman-teman.

“Daripada situ minat menyanyi mula datang secara serius dan saya pergi ke kelas vokal secara profesional di Akademi Suara.

“Dan terhasillah single pertama berjudul Hujung Dunia pada tahun lalu dan single Nothing 2 Prove pada November lepas,” katanya.

Walaupun baru sahaja tampil dengan single kedua, anak kelahiran Johor Bahru itu tidak menunggu lama untuk hadir dengan projek baharu.

Menariknya, gadis berdarah kacukan Melayu-New Zealand itu mengambil langkah berani apabila tampil dengan Anima yang dihasilkan dalam dua versi sekaligus.

“Anima untuk versi bahasa Melayu dan Anima Bella dalam Bahasa Inggeris bagi memenuhi selera pendengar.



“Single bergenre pop-dance ini dicipta oleh penyanyi rap, Kayda Aziz, bersama rakan-rakan komposer seperti Aiman Rijal, Christiana Chai dan Alwani Badaruddin, dan diterbitkan oleh Deep Faith Entertainment.

“Dalam single Anima dan Anima Bella, saya cuba tonjolkan sisi yang lebih dewasa serta berani dan lari daripada imej keanak-anakan.

“Kini, saya lebih gemar bereksperimentasi dengan muzik demi menghasilkan bunyi ‘signature’ Mia Lateefa,” katanya.

Tambah Mia, Anima bukan bermaksud animasi seperti yang disangkakan tetapi bermaksud jiwa dalam bahasa Itali.

“Lagu ini tiada kena-mengena dengan kisah peribadi saya, tetapi bagi sesiapa yang pernah mengalaminya, cuba selami liriknya dan saya pasti pendengar mengerti apa yang disampaikan,” jelasnya.

Lagu Anima dan Anima Bella boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Video muzik lagu ini pula boleh ditonton di saluran YouTube Warner Music Malaysia dan saluran YouTube Mia Lateefa Keyte.