Pasangan popular Hollywood, Zayn Malik dan Gigi Hadid bersikap terbuka tentang agama yang akan dianuti anak perempuan mereka, Khai.

Menurut model terkenal itu, dia mahu anaknya mendalami sendiri tentang agama mana yang dirasakan sesuai untuk dirinya apabila menjengah dewasa.

"Sebelum ini saya dibenarkan belajar tentang setiap agama ketika masih kecil, saya rasa bagus untuk mempelajarinya, itulah yang akan kami lakukan kepada anak kami.

"Bagi saya, dengan memberi peluang kepada anak kami untuk menerokai sendiri adalah satu perkara yang baik," kata Gigi dalam satu temu bual bersama Vogue.

Dalam pada itu, Gigi juga berkongsi tentang pengalaman berhadapan golongan Islamophobia ketika membesar bersama adiknya, Anwar Hadid.

Namun, Gigi mahu anaknya berhadapan perkara itu dengan cara yang berbeza.

"Adik saya, ketika dia bersekolah, ada orang cakap "ayah awak pengganas" selepas kejadian 9/11.

"Saya dan Zayn mahu anak kami memahami latar belakang dirinya dengan baik, dan kami akan membuat dia bersedia," katanya lagi.

Gigi membesar dalam keluarga di mana ayahnya, Mohamed Hadid beragama Islam dari Palestin, manakala ibunya, Yolanda Hadid menganut agama Kristian.

Manakala Zayn dibesarkan dalam keluarga Islam yang berasal dari Pakistan.

Pasangan ini menimang cahaya mata pertama, Khai pada 23 Disember tahun lalu.

Sumber : Geo News
Kredit Foto : Glamour