Laman Utama
“Ziana Zain Antara Yang Terawal..” - Rizman Ruzaini Sambut Ulang Tahun Ke-15
Pereka fesyen terkenal Rizman Ruzaini meraikan sambutan ulang tahun ke-15 mereka dalam industri pada tahun ini.
Menerusi laman sosial Instagram, jenama itu berkongsi momen indah sepanjang 15 tahun membina nama dalam industri fesyen.
“2020 menandakan ulang tahun ke-15 Rizman Ruzaini. Sebuah perjalanan yang indah. Walau adakalanya berliku, akan tetapi memori yang dibawa bersama lebih besar dari segalanya.
“Alhamdulillah empayar RR kini semakin kukuh. Ia tak mungkin berlaku tanpa fashion royalties kami yang sentiasa bersama kami sepanjang 15 tahun ini.
“Untuk meraikan kalian, Rizman Ruzaini mengumpulkan kembali ikon dan idola yang sentiasa bersama Rizman Ruzaini selama ini.
“Terima kasih atas sokongan anda. Mari bersama teruskan legasi ini dan Rizman Ruzaini berjanji akan terus berkarya untuk anda,” tulis jenama itu menerusi ruangan kapsyen mereka.
Selain itu, Rizman Ruzaini turut memuat naik beberapa selebriti yang sering menyarung busana jenama itu sehingga layak digelar ‘fashion royalties’.
Antara selebriti tersebut adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nur Fazura, Izara Aishah, Amelia Handerson, Fattah Amin dan Hael Husaini.
Malah, Rizman Ruzaini turut memberi penghargaan kepada penyanyi Ziana Zain kerana merupakan antara selebriti terawal yang menggayakan rekaan mereka.
Meninjau ke ruangan komen, ramai rakan selebriti dan wargamaya yang memberikan ucapan tahniah kepada duo Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil.
“Pejam celik dah 15 tahun ya. Semoga makin maju untuk 15 tahun akan datang dan seterusnya,” komen penyanyi Ning Baizura.
“Tahniah, semoga cemerlang berkarya demi kegembiraan peminat setia,” tulis seorang wargamaya.
“Alhamdulillah, such a great journey RR,” puji seorang wargamaya.
“Terima kasih sentiasa mewarnai dunia fesyen. Bangga dengan kalian berdua, keep up the good work,” ujar seorang wargamaya lagi.
Must-Watch Video