Sekilas
- Azza Elite memilih pendekatan tenang dan tidak memaksa rakan-rakan berkongsi masalah ketika memberi nasihat supaya mereka lebih selesa berjumpa dengannya.
- Dia lebih suka berbual tentang kejayaan dan perkara positif daripada membincangkan isu semasa atau masalah peribadi bagi menjaga suasana yang selesa dalam persahabatan.
- Pelakon Abby Abadi turut mengesahkan mereka tidak berkongsi masalah rumah tangga dengan rakan, sebaliknya fokus pada urusan utama ketika bertemu.
Penyanyi, Azza Elite tampil bersuara selepas dirinya dibandingkan dengan seorang rakan mengenai cara perkongsian nasihat.
Menerusi perkongsian di Threads, Azza berkata dia memilih pendekatan ketenangan dan tidak memaksa rakan-rakan untuk bercerita masalah hidup dengannya.
Menurutnya, pendekatan itu adalah untuk memastikan rakan-rakannya selesa apabila bertemu dengannya dan tidak terlalu berasa terbeban dengan masalah hidup mereka.
“Ada orang bandingkan cara saya dan seorang kawan lagi tentang nasihat. Girl, setiap orang tak sama. Saya memilih tidak melakukannya secara terang-terangan tetapi dengan kelembutan dan memberi satu senyuman tanpa memberikan tekanan lagi pada seorang individu.
“Saya tidak pernah ingin mencampuri urusan orang lain. Kalau berjumpa, tak akan saya tanya atau bahaskan mengenai isu semasa. Lebih baik, saya bercakap bagaimana ingin menjadi lebih berjaya dan lebih baik. Menjauh dari isu semasa boleh membuatkan orang suka vibe keluar dengan kita dan berkawan dengan lebih selesa,”tulisnya.
Dalam hantaran sama, Azza turut memuat naik foto bersama rakan baiknya, pelakon Abby Abadi di dalam sebuah majlis dengan masing-masing berpakaian jubah dan tudung berwarna putih.
Katanya lagi, persahabatan yang telah terjalin kebiasaannya lebih senang dikendalikan memandangkan sudah tahu cara yang sesuai untuk berinteraksi bersama rakan-rakan.
“30 tahun hubungan persahabatan, kita tau kita selesa dengan kawan kita. Kita tahu macam mana nak tackle kawan kita. Kita tau dia ada kita. Boleh awak bayangkan tak, tak akan awak keluar awak akan tanya tentang isu semasa. Boleh gila kawan kita.
“Tak boleh la macam kat sini kita bercerita dalam kereta. Biar kawan kita selesa sewaktu jumpa. Jangan keluarkan cerita-cerita yang bagi dia ingat tentang masalah dia. Berilah dia ruang sampai dia lupa masalah dia bila berjumpa dengan kita,”ujarnya.
Perkongsian tersebut turut menarik perhatian Abby sendiri di ruangan komen dengan mengakui dirinya tidak pernah bercerita mengenai masalah rumah tangga pada rakan-rakannya, sebaliknya hanya fokus pada urusan utama pertemuan sahaja.
“Ya kan awak. Kita tidak cerita apa-apa pada kawan kita. Segala urusan kita tanggung sendiri. Jumpa kawan-kawan pun sebab ada urusan. Tak cerita masalah rumah tangga ke apa. Memang sejenis tak suka nak bercerita pun.
“Kawan-kawan terdekat pun tau. Semua pun tak campur sebab masing-masing ada masalah sendiri. Tiba-tiba kawan jauh pula komen macam serba tahu. Semua dalam poket. Entah apa-apa sahajalah manusia ini,”komen Abby.