Skip to main content

Selebriti

422 Hari Tak Bayar, Rafidah Ibrahim Berdepan Risiko Muflis & Aset Disita

Rafidah Ibrahim

Pelakon dan aktivis bebas, Rafidah Ibrahim berdepan risiko muflis serta asetnya disita jika gagal melunaskan tuntutan saman difailkan ahli perniagaan, Datuk Haris Embong bersama syarikatnya, Arisprop Holdings Sdn. Bhd.

Menurut Haris, pihaknya masih belum menerima bayaran atau respon daripada Rafidah berhubung ganti rugi bernilai RM281,200 seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Julai 2024.

Advertisement

“Setakat hari ini, sudah 422 hari berlalu sejak keputusan mahkamah dibuat. Namun, Rafidah Ibrahim masih gagal mematuhi terma pembayaran ganti rugi seperti yang diarahkan,” katanya ketika ditemui Gempak.

Tambah Haris, notis tuntutan kedua telah dikeluarkan pada 19 September 2025 dengan tempoh tujuh hari untuk Rafidah jelaskan bayaran tersebut.

“Peguamcara Rafidah sudah mengesahkan notis itu diterima pada 22 September lalu, tapi sampai sekarang masih tiada sebarang bayaran dibuat,” ujarnya.

Peguam Haris, Alvin Dev Singh berkata mereka kini sedang mempertimbangkan tindakan lanjut.

“Sekiranya tiada maklum balas, antara tindakan yang boleh diambil termasuk menyenaraikan aset milik Rafidah atau memfailkan permohonan untuk isytihar beliau muflis,” katanya.

Haris turut menegaskan saman itu tidak ada kaitan dengan kontroversi lain membabitkan Rafidah.

“Tindakan ini semata-mata untuk bersihkan imej saya sebagai usahawan dan jaga nama baik syarikat. Kami tak ada kaitan dengan mana-mana isu politik pun, baik kerajaan mahupun pembangkang. Semuanya cuma kebetulan,” jelasnya.

Sekadar rekod, pada 2021 Rafidah pernah dilantik sebagai Ketua Pemasaran Aris Burger secara kontrak namun kerjasama itu ditamatkan pada Ogos tahun sama. 

Tidak lama kemudian, dia didakwa memuat naik hantaran media sosial mendakwa Haris terbabit salah laku seksual dan syarikatnya tidak beretika.

Akibatnya, Mahkamah Tinggi memutuskan Rafidah perlu membayar ganti rugi RM100,000 kepada Haris, RM150,000 kepada Arisprop Holdings, selain faedah lima peratus setahun, kos guaman RM30,000 dan fi alokator RM1,200.

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement