Pelakon, Datuk Aaron Aziz tampil menjawab persoalan netizen mengenai perkongsiannya di media sosialnya baru-baru ini.
Menerusi hantaran itu, Aaron memaklumkan tahun ini merupakan tahun yang amat berat baginya setelah menerima pelbagai dugaan dan kekecewaan.
Advertisement
Menurut Aaron, perkongsian itu adalah disebabkan pengalamannya yang ditipu oleh 'scammer' pengurusan tabung haji tahun ini.
"Saya kena scam dan ramai yang menghantar DM (direct massage) kepada saya yang mereka kena scam dengan syarikat yang sama.
"Ada juga beberapa isu lain di mana orang mempergunakan saya. Terlalu banyak sangat isu yang jadi tahun ini.
"Sebab itulah waktu saya kongsi itu dan saya tutup komen. Saya penatlah asyik jumpa orang untuk nak gembira tapi akhirnya dipergunakan," katanya.
Aaron berkongsi perkara tersebut ketika Majlis Makan Malam Bersama Dali pada Jumaat.
Dalam masa sama, pelakon yang memegang watak sebagai Dali dalam filem Banduan yang bakal ditayangkan itu berkata isu ditipu oleh syarikat berkenaan masih tidak selesai sehingga kini.
Dia turut berkongsi bahawa nilai asal yang ditipu adalah sebanyak RM140,000, termasuk gaji tertunggaknya selama empat bulan, dan mendedahkan bahawa dia telah mendahulukan duitnya untuk membantu 45 orang jemaah yang kononnya tidak mencukupi dana.
Lebih merisaukan, 'scammer' tersebut sehingga kini masih menggunakan nombor yang sama untuk menjalankan modus operandi penipuannya.
"Perkara tersebut tak selesai lagi. Sampai sekarang kita ada 'group chat'. Apa yang diberitahu oleh mangsa ialah nombor pekerja syarikat itu masih menggunakan nombor yang sama untuk 'scam' orang.
"Pada asalnya saya kena tipu RM140,000 sebab katanya tak cukup dana untuk hantar 45 Jemaah pergi umrah. Jadi saya mendahulukan 45 Jemaah tersebut dengan menggunakan lebihan gaji saya.
" Saya berkhidmat dengan syarikat itu dari bulan 12 tahun 2024 sehingga April. Namun, saya tidak dapat gaji dari bulan Januari sehingga April.
"Dia kata umrah itu adalah 'money game'. Deposit hotel berjuta-juta. Banyak 'cashflow' dan akhirnya dia mengelak panggilan saya, ada juga mangsa yang beritahu saya bahawa dia tersangkut di Mekah.
"Muka saya pun terpampang kat syarikat itu, jadi saya terpaksa mendedahkan isu ini. Bukan untuk tutup periuk nasi orang tapi untuk membela orang tua yang ikat perut enam bulan yang akhirnya telah dianiaya dan dizalimi penipu.
"Lebih baik saya buat macam itu sebelum yang lain turut terjejas. Bila saya berusara barulah yang lain bersuara. Kalau tak semua diam," jelasnya.
Terdahulu, Aaron pernah memuat naik sebuah perkongsian di laman Instagram miliknya yang kelihatan amat pasrah dan kecewa sehingga menyebabkan dia tidak mampu untuk tersenyum seperti dahulu kala lagi.
Sebelum ini, Aaron Aziz mengalami kerugian hampir RM90,000 dipercayai akibat ditipu oleh sebuah agensi pengurusan umrah. Kejadian duka tersebut memberi kesan kepada tahap kesihatannya sehingga perlu mendapatkan rawatan.
Dalam perkembangan lain, Aaron turut membintangi Filem Banduan yang bakal menemui penonton pada 6 November 2025, adaptasi daripada filem pecah panggung dari India, bertajuk Kaithi.
Selain Aaron, filem aksi arahan Kroll Azry ini turut menampilkan pelakon terkenal tanah air iaitu Datuk Rosyam Nor, Dato Afdlin Shauki, Husyairi Hussain, Fadhli Masoot dan Abi Madyan.